Tanah kesultanan akan dilindungi oleh Sultan, kata MB Johor


Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata status tanah kesultanan akan memberikan perlindungan ke atas tanah Orang Asli daripada diperbuat sesuka hati oleh mana-mana pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2023.

TANAH yang diwartakan di Johor sebagai tanah kesultanan atau “sultanate land” tidak akan menjadi milik peribadi Sultan Johor, kata Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.

Status tanah kesultanan sebaliknya akan memberikan perlindungan ke atas tanah itu daripada diperbuat sesuka hati oleh mana-mana pihak, jelasnya.

“Untuk pengetahuan semua, mana-mana kawasan yang diwartakan sebagai ‘sultanate land’ bukanlah bermaksud tanah itu milik peribadi Sultan, tetapi tanah itu dilindungi oleh Sultan supaya tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan atau menyalahgunakan tanah rizab tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Onn, kerajaan negeri menjunjung dan menyokong titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa merasmikan pembukaan penggal persidangan kedua Dewan Negeri Johor pada 16 Mac lalu.

Jelas beliau, Sultan Johor adalah pelindung kepada tanah rizab negeri yang akan terus menjaga hak dan kepentingan masyarakat Orang Asli di negeri, seperti yang terbukti sejak pemerintahan Sultan Abu Bakar dan sebelum adanya Akta Orang Asli 1954.

“Kedudukan dan penempatan Orang Asli di Negeri Johor telah dijaga dan dibela oleh Kesultanan Johor.

“Kerajaan negeri berharap tidak ada mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan dan mengelirukan Orang Asli lagi. Janganlah menangguk di air yang keruh dan memutarbelitkan hasrat murni kerajaan negeri ini,” katanya.

Minggu lepas, seorang pemimpin Orang Asli Johor mempertikaikan cadangan untuk menjadikan tanah rizab Orang Asli sebagai tanah kesultanan.

Pengerusi Jaringan Perkampung Orang Asli Johor (JPOAJ) Dolah Tekoi berkata tanah itu sudah dilindungi bawah Akta Orang Asli dan Kanun Tanah Negara, dan tidak perlu diletakkan sebagai tanah kesultanan. β€“ 5 April, 2023.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen