McDonald tutup pejabat di AS menjelang penamatan perkhidmatan


McDonald's melaporkan jualan globalnya meningkat hampir 11% pada 2022, manakala jualan di AS meningkat hampir 6%. – Gambar EPA, 4 April, 2023.

McDONALD’s menutup pejabatnya di Amerika Syarikat selama beberapa hari sebelum memaklumkan mengenai pemberhentian kakitangannya, lapor Xinhua.

Media tempatan memetik emel dalaman syarikat rangkaian makanan segera yang berpangkalan di Chicago sebagai berkata kakitangan korporat AS dan beberapa pekerja di luar negara harus bekerja dari rumah sementara menunggu maklum balas mengenai status perkhidmatan mereka.

McDonald’s akan memaklumkan kepada pekerjanya minggu ini tentang keputusan mengenai penamatan kakitangan sebagai sebahagian daripada program penstrukturan “Accelerating the Arched” yang diumumkan pada awal Januari, yang lebih terarah kepada “penghantaran, drive thru, digital dan pembangunan”.

Gergasi makanan segera itu mempunyai lebih daripada 150,000 pekerja dalam sektor korporat.

Kira-kira 70% daripada pekerja terbabit berpangkalan di luar AS.

McDonald’s melaporkan jualan globalnya meningkat hampir 11% pada 2022, manakala jualan di AS meningkat hampir 6%.

Penamatan perkhidmatan kakitangan semakin meningkat di AS, terutamanya membabitkan sektor teknologi.

IBM, Microsoft, Amazon, Salesforce, Meta, Twitter dan DoorDash mengumumkan pemberhentian pekerjanya sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Rizab Persekutuan sebelum ini meramalkan kadar pengangguran AS mungkin meningkat kepada 4.6% menjelang akhir tahun ini. – Bernama, 4 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen