AGENSI sains kebangsaan Australia membangunkan teknologi baharu dalam usaha membantu pembersihan periuk api global.
Teknologi pengesanan baharu yang didedahkan oleh Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Perindustrian Komanwel (CSIRO) bertepatan dengan Hari Antarabangsa bagi Kesedaran dan Bantuan dalam Tindakan terhadap Periuk Api pada Selasa, menggunakan teknologi resonans magnetik yang mampu mengesan molekul bahan letupan di dalam periuk api.
Ia lebih diyakini berbanding pengesan logam yang digunakan pada masa kini untuk mengesan periuk api serta kos efektif.
CSIRO menubuhkan sebuah syarikat baharu, MRead untuk membangunkan teknologi pengesan yang lebih mudah digunakan.
“Ketepatan teknologi ini akan mengubah lanskap pembersihan periuk api, memberi penyelesaian yang lebih pantas dan dipercayai, seterusnya melindungi individu yang melakukan kerja-kerja pembersihan serta memperluaskan julat usaha pembersihan periuk api untuk menjadikan dunia tempat yang lebih selamat,” kata Larry Marshall, ketua eksekutif CSIRO dalam satu kenyataan media.
Dianggarkan terdapat lebih daripada 100 juta periuk api ditanam di seluruh dunia dan sekitar 6,500 orang menjadi mangsa setiap tahun. – Bernama, 4 April, 2023.
Komen