Korban kebakaran pusat imigresen Mexico cecah 40 orang


Aktivis dan pendatang meletakkan bunga di luar pusat tahanan imigresen di Ciudad Juarez, negeri Chihuahua, Mexico, sebagai solidariti mangsa kebakaran. – Gambar AFP, 4 April, 2023.

ANGKA kematian akibat kebakaran di pusat tahanan imigresen Mexico berhampiran sempadan Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada 40 orang selepas seorang lagi pendatang meninggal dunia akibat kecederaannya, kata pihak berkuasa pada Isnin.

Mangsa diterbangkan dengan ambulans udara dari Ciudad Juarez ke kemudahan perubatan di Mexico City, menurut kementerian keselamatan.

Lima lagi cedera dalam kebakaran itu dihantar ke ibu negara pada hujung minggu, kata kementerian itu, sambil menambah jumlah yang cedera adalah 27 orang.

Lima orang ditangkap sebagai sebahagian daripada siasatan pembunuhan, termasuk seorang pendatang yang dituduh memulakan kebakaran pada 27 Mac, tiga pegawai imigresen dan seorang pengawal keselamatan swasta.

Pihak berkuasa menuduh pihak yang bertanggungjawab ke atas kemudahan itu tidak melakukan apa-apa untuk memindahkan pendatang.

Rakaman pengawasan video menunjukkan pengawal meninggalkan tahanan dikunci di dalam ketika api merebak dan asap memenuhi bilik.

Waran tangkap masih tergantung untuk seorang lagi pengawal yang dikehendaki berhubung tragedi itu, yang meragut nyawa pendatang dari Amerika Selatan dan Tengah.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador, yang berikrar tiada yang terlepas atas bencana itu, melawat Ciudad Juarez pada Jumaat untuk melihat rawatan perubatan diberikan kepada mereka yang cedera. – AFP, 4 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen