Nasa umum angkasawan wanita, lelaki kulit hitam pertama ke bulan


Empat angkasawan yang akan menyertai misi Artemis II ke bulan, termasuk angkasawan wanita pertama Christina Koch (kanan) dan angkasawan lelaki kulit hitam pertama Victor Glover. – Gambar AFP, 4 April 2023.

AGENSI Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (Nasa) semalam umum nama empat angkasawan yang akan menyertai misi mengelilingi bulan tahun depan, yang pertama sejak 50 tahun lalu.

Antara yang akan menyertai misi Artemis II itu adalah angkasawan wanita pertama Christina Koch dan Victor Glover, angkasawan lelaki kulit hitam pertama.

Koch, angkasawan Nasa yang memegang rekod penerbangan angkasa terpanjang oleh wanita, menggalas tugas sebagai pakar misi dalam pelancaran misi tersebut. 

Manakala Glover akan menerbangkan kapal angkasa Orion yang dijadual mengelilingi bulan pada November tahun depan. Beliau bakal menjadi lelaki kulit hitam pertama menyertai misi ke bulan.

Misi Artemis II turut disertai dua lagi angkasawan iaitu veteran Nasa Reid Wiseman, 47, yang juga komander misi, serta bekas juruterbang pesawat pejuang yang kini berkhidmat dengan Agensi Angkasa Kanada, Jeremy Hansen, 47.

Tiga rakyat Amerika Syarikat (AS) dan seorang warga Kanada itu bakal menjadi angkasawan pertama ke angkasa lepas sejak berakhirnya misi bersejarah Apollo pada 1972.

Empat angkasawan berkenaan diperkenalkan dalam satu acara di Johnson Space Center di Houston, Texas semalam.

Penerbangan misi Artemis II adalah permulaan untuk mengembalikan manusia ke permukaan bulan buat kali pertama sejak setengah abad lalu dan membuka jalan untuk misi akan datang ke Marikh. – AFP, 4 April 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen