ARAB Saudi, Mesir, Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) hari ini mengumumkan memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar, susulan keadaan di rantau itu semakin tegang berikutan Doha didakwa menaja keganasan.
Agensi berita Arab Saudi, SAP berkata Riyadh memutuskan hubungan diplomatik dan menutup sempadan dengan negara jirannya itu untuk “melindungi keselamatan negara daripada bahaya keganasan dan ekstremisme”.
Seorang pegawai rasmi Arab Saudi dipetik berkata kepada SPA negara itu membuat keputusan untuk “memutuskan hubungan diplomatik dan konsulat dengan Qatar, dan menutup semua jalan darat, laut dan udara”.
Langkah tegas itu diambil susulan “kekerapan pelanggaran peraturan oleh pihak berkuasa di Qatar sejak beberapa tahun lalu”, menurut kenyataan Arab Saudi.
UAE mengikut langkah itu dan memutuskan hubungan, manakala kementerian luar Mesir juga menuduh Doha menyokong “keganasan” ketika ia mengumumkan untuk memutuskan hubungan diplomatik.
Kenyataan itu berkata semua pelabuhan dan lapangan terbang Mesir akan ditutup untuk kapal dan pesawat Qatar.
Agensi berita Bahrain berkata negara kecil itu juga memutuskan hubungan dengan Doha susulan desakannya yang “menggugat keselamatan dan kestabilan Bahrain dan campur tangan dalam hal ehwal negaranya”.
Arab Saudi mengetuai gabungan negara Arab memerangi pemberontak di Yaman dalam perang selama dua tahun sementara berkata ia menyingkirkan Qatar kerana negara itu menyokong organisasi seperti Al-Qaeda dan kumpulan IS.
Doha sudah lama berdepan tuduhan yang ia menjadi negara penaja kepada keganasan.
Ia dikritik kerana sokongannya kepada kumpulan pemberontak pejuang Presiden Syria Bashar al-Assad, dan individu dari Qatar turut dijatuhi hukuman oleh Perbendaharaan Amerika Syarikat kerana mendanai aktiviti keganasan.
Dalam tempoh beberapa minggu ini, Qatar dituduh membiayai keganasan dalam satu artikel disiarkan di media Amerika.
Ia juga dikritik kerana menjadi tempat persembunyian bekas ketua Hamas Khaled Meshaal, di mana awal bulan ini dia menggunakan pangkalannya di Doha – tempat tinggalnya selepas hidup dalam buangan sejak beberapa tahun lalu – untuk melancarkan dokumen dasar baharu.
Taliban Afghanistan membuka pejabat di Doha pada 2013.
Qatar, yang akan menjadi tuan rumah Piala Dunia bola sepak 2022, ialah ahli gabungan diketuai Amerika Syarikat (AS) untuk menewaskan kumpulan IS.
Negara itu juga tempat pangkalan udara Al-Udeid di mana AS menjalankan semua operasi udara untuk rantau berkenaan. – AFP, 5 Jun, 2017.
Komen