Finland rasmi sertai Nato


Finland akan menjadi anggota penuh Nato mulai hari ini. – Gambar Twitter, 4 April 2023.

FINLAND akan menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik (Nato) hari ini dan bendera negara itu akan dikibar di ibu pejabat perikatan itu, menurut Setiausaha Agung Nato Jens Stoltenberg pada Isnin.

Bercakap kepada pemberita menjelang mesyuarat menteri-menteri luar Nato, Stoltenberg berkata blok itu menantikan “minggu bersejarah” sambil menyatakan bahawa Finland akan menjadi “anggota penuh perikatan mulai Selasa”.

Menteri-menteri luar Nato akan bertemu Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba pada pertemuan semula Suruhanjaya Nato-Ukraine, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Stoltenberg.

Selepas konflik, Nato mesti “menyediakan aturan supaya Ukraine dapat menghalang pencerobohan di masa depan dan memastikan sejarah tidak berulang,” katanya.

Menteri luar Nato akan memulakan persiapan untuk sidang kemuncak pemimpin pada Julai di Vilnius, Lithuania.

Pada hari kedua, menteri-menteri luar Nato dijadual bertemu rakan sejawat mereka dari Jepun, Korea Selatan, Australia, dan New Zealand. – Bernama, 4 April 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen