Korea Selatan, Ecuador mulakan pusingan baharu perjanjian perdagangan 2 hala


Korea Selatan akan menjadi negara Asia pertama yang mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan Ecuador. – Gambar EPA, 3 April, 2023.

KOREA Selatan dan Ecuador pada Isnin memulakan rundingan pusingan kesembilan mereka mengenai pembentukan perjanjian perdagangan bebas dua hala, menurut kementerian perdagangan Seoul.

Kedua-dua negara melancarkan rundingan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Strategik (SECA), iaitu pakatan perdagangan bebas pada 2016, dan menyambung semula rundingan pada tahun lepas selepas terhenti selama enam tahun, lapor Yonhap.

Rundingan terbaharu itu akan berlangsung hingga Jumaat di Seoul, menurut Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga.

Kedua-dua pihak berusaha mempercepatkan perbincangan demi mencapai kesepakatan mengenai pelbagai isu, termasuk barangan perkilangan, perkhidmatan dan perolehan, serta cara untuk meningkatkan rantaian bekalan tenaga dan mineral utama, menurut kementerian itu.

“Kedua-dua pihak aktif dalam rundingan, dan kami menjangkakan hasil yang ketara tidak lama lagi. 

Tumpuan akan diberikan kepada hubungan dua hala yang saling menguntungkan dan berorientasikan masa depan,” kata perunding utama Seoul, Kwon Hye-jin.

Negara Amerika Selatan itu kaya dengan sumber semula jadi, seperti tembaga, zink, dan emas.

Sekiranya perjanjian itu dicapai, Korea Selatan akan menjadi negara Asia pertama yang mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan Ecuador.

Menurut data kerajaan, Ecuador ialah destinasi eksport utama keenam Korea Selatan dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah AS$968 juta pada 2021. – Bernama, 3 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen