BIRO Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) dan Jabatan Kehakiman (DoJ) mempunyai bukti baharu yang menunjukkan bekas Presiden Donald Trump mungkin menghalang siasatan ke atas dokumen rahsia yang ditemukan di pusat peranginan Mar-a-Lago miliknya, lapor Sputnik.
Penyiasat persekutuan mengumpul bukti baharu di mana kotak-kotak bertanda sulit dialihkan dari kawasan simpanan Mar-a-Lago selepas sapina dikeluarkan dan Trump secara peribadi memeriksa berapa kotak berkenaan, lapor The Washington Post pada Ahad memetik sumber.
Bukti baharu itu muncul apabila penyiasat menggunakan e-mel dan mesej teks daripada bekas pembantu Trump serta kenyataan saksi, rakaman kamera keselamatan dan bukti dokumentari lain.
Tidak jelas sama ada terdapat cukup bukti untuk meminta juri mendakwa Trump atas kesalahan menghalang siasatan.
Jurucakap Trump Steven Cheung memberitahu akhbar itu pertuduhan terhadap Trump tidak berasas berdasarkan fakta atau undang-undang.
Katanya peguam khas dan DoJ kini menggunakan pendakwaan dengan membocorkan maklumat secara haram untuk merosakkan proses undang-undang dan keadilan serta menggunakan sistem untuk memanipulasi pendapat umum dan melakukan campur tangan pilihan raya.
Pada 8 Ogos FBI menyerbu Mar-a-Lago sebagai sebahagian daripada penyiasatan ke atas potensi salah kendali rekod presiden.
Ejen yang memeriksa premis itu selama sembilan jam merampas 11 set dokumen dan bahan lain termasuk berlabel Rahsia Besar. – Bernama, 3 April, 2023.
Komen