29 maut, puting beliung, ribut petir landa AS


Dua wanita kelihatan berpelukan di atas runtuhan rumah mereka yang dibadai ribut petir di Rolling Fork, Mississippi. Setakat ini 29 dilaporkan maut atas tragedi melanda negeri di tengah, selatan dan timur AS. – Gambar AFP, 3 April, 2023.

JUMLAH kematian akibat ribut petir, angin kuat dan puting beliung di negeri tengah, selatan dan timur Amerika Syarikat (AS) kini meningkat kepada 29 orang, kata pihak berkuasa.

Tennessee, antara negeri paling teruk terjejas sejak ribut bermula pada Jumaat lalu, pada awalnya melaporkan tujuh kematian.

Jumlah itu meningkat 17 selepas polis melaporkan tiga lagi kematian semalam, membabitkan dua kanak-kanak dan seorang dewasa yang maut pada Sabtu apabila pokok tumbang di atas rumah mereka di Memphis.

Keadaan di Tennessee pasca puting beliung membadai amat teruk dengan pokok tumbang, rumah ranap dan bangunan tinggi rosak.

“Anda boleh rasa gegaran di seluruh rumah,” kata Janice Pieterick, di mana pintu dan tingkap rumahnya tercabut apabila dilanda puting beliung di Lewis County.

Kematian turut dilaporkan di Arkansas, Mississippi dan Alabama di selatan, Indiana dan Illinois di barat tengah dan Delaware di Atlantik tengah.

Ribut turut menyebabkan berpuluh-puluh yang lain cedera.

Beberapa puting beliung berlaku – dengan ada yang saiz begitu luar biasa besarnya dan kuat – membadai di Arkansas, di mana lima terbunuh, kata gabenor.

Dalam satu kenyataan semalam, Presiden Joe Biden berkata: “Kami bekerjasama rapat dengan Indiana dan negeri lain terjejas yang kini sedang membuat penilaian kerosakan, dan bersiap sedia untuk respons kepada sebarang permohonan tambahan mendapatkan bantuan persekutuan.”

Gabenor Arkansas Sarah Huckabee Sanders mengisytiharkan darurat di negeri itu dan mohon bantuan pengawal negara dalam usaha mencari mangsa terselamat. – AFP, 3 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen