SEBUAH kedai yang menjual pakaian diarah tutup selepas diserbu orang ramai untuk mendapatkan baju raya dengan harga murah.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihak pengurusan kedai di Seksyen 7, Shah Alam itu setuju selepas tidak dapat mengawal keadaan.
Katanya polis menerima aduan berhubung kekecohan di kedai itu pada jam 10.30 pagi tadi.
“Dianggarkan lebih 500 orang menyerbu kedai berkenaan untuk dapatkan harga promosi RM1 sehelai pakaian. Berlaku tolak menolak dan kekecohan hingga tidak dapat dikawal.
“Jadi atas faktor keselamatan pihak pengurusan kedai bersetuju menghentikan operasi kerana tidak dapat mengawal bilangan pengunjung yang hadir pada jam 11.45 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kedai pakaian itu diserbu selepas membuat promosi untuk 100 orang terawal boleh membeli baju raya berharga RM1 manakala 50 orang berikutnya akan menerima baju kurta percuma.
Video yang tular di Twitter menunjukkan orang ramai menyerbu kedai tersebut sebaik ia dibuka, pagi tadi.
Pengawal keselamatan bertugas kelihatan tidak dapat mengawal keadaan. – 2 April, 2023.
Komen