JUMLAH yang terbunuh dalam tanah runtuh di Ecuador meningkat kepada 27 orang, kata pihak berkuasa pada Sabtu, sambil menambah pasukan penyelamat masih mencari berpuluh- yang hilang selepas tragedi itu berlaku hampir seminggu lalu.
Berikutan hujan lebat, sebahagian besar lereng gunung runtuh lewat Ahad lalu dan menimbus sebahagian bandar Alausi, memusnahkan atau merosakkan sekurang-kurangnya 163 rumah, kata pegawai.
Pasukan penyelamat menghabiskan enam hari terakhir menggali runtuhan di bandar selatan kira-kira 300km selatan ibu kota Quito mencari berpuluh-puluh mangsa, dengan jumlah kematian semakin meningkat.
Pada Jumaat Sekretariat Pengurusan Risiko berkata 23 orang meninggal dunia, 38 cedera dan 67 masih hilang.
Tetapi pada Sabtu jumlahnya meningkat “27 kematian yang disahkan selepas keruntuhan itu,” kata pejabat pendakwa raya negara di Twitter.
Pegawai berkata pasukan penyelamat masih mencari mangsa yang hilang, walaupun tidak dapat dipastikan jumlahnya.
Wilayah yang sama dilanda gempa bumi lebih seminggu sebelum itu yang mengakibatkan 15 orang terbunuh.
Selepas berbulan-bulan hujan lebat, kerajaan minggu lalu mengisytiharkan darurat selama dua bulan di 13 daripada 24 wilayah di negara itu, membolehkan sumber ekonomi diagihkan semula ke kawasan terjejas. – AFP, 2 April 2023.
Komen