LIMA askar Syria cedera dalam serangan udara Israel dekat bandar barat Homs pada pagi Ahad, kata agensi berita negara Syria SANA.
Serangan itu adalah yang ketiga Israel dalam beberapa hari kebelakangan ini selepas Damsyik menjadi sasaran pada malam 30 dan 31 Mac, menurut agensi itu.
“Hari ini kira-kira jam 00:35 (2135 GMT), musuh Israel melakukan serangan udara dari timur laut Beirut yang menyasarkan kedudukan di bandar Homs dan wilayahnya,” lapor SANA pada Ahad, memetik sumber tentera.
Pertahanan udara Syria memintas beberapa peluru berpandu, tetapi lima askar cedera dan beberapa kerosakan material dilaporkan, tambah sumber itu.
Syrian Observatory for Human Rights, pemantau perang yang berpangkalan di Britain, berkata serangan itu menyasarkan beberapa kedudukan tentera tentera kerajaan Syria dan kumpulan pro-Iran di Homs.
NGO itu berkata letupan menggegarkan bandar dan kebakaran berlaku di sebuah pusat penyelidikan, dengan ambulans menuju ke lokasi serangan.
Pengarahnya Rami Abdul Rahman memberitahu beberapa pejuang yang bersekutu dengan Iran di pusat penyelidikan terbunuh dalam serangan itu.
Seorang pegawai daripada Pengawal Revolusi Iran terbunuh dalam serangan Israel di Syria pada 31 Mac.
Israel melakukan tujuh serangan udara di Syria bulan ini, menurut Observatory, yang mempunyai rangkaian sumber luas di negara itu.
Walaupun Israel jarang mengulas mengenai serangan yang dilakukannya ke atas Syria, ia berulang kali berkata tidak akan membenarkan musuh ketatnya Iran meluaskan pengaruh di negara dilanda perang itu.
Bulan lalu, serangan udara Israel membunuh 15 orang di daerah Damsyik yang menempatkan agensi keselamatan negara, kata Observatory pada masa itu.
Minggu lalu, serangan peluru berpandu Israel memusnahkan depoh senjata yang disyaki digunakan oleh pejuang yang disokong Iran di lapangan terbang Aleppo Syria, kata pemantau perang itu.
Pada 7 Mac, tiga orang maut serangan Israel di lapangan terbang sama yang menyebabkan ia tidak beroperasi. Ia dibuka semula tiga hari kemudian.
Perang Syria meletus pada 2011 dengan penindasan kejam terhadap protes antikerajaan secara aman, dan berubah menjadi konflik bersenjata yang menarik kuasa asing dan pejuang jihad global.
Kira-kira 500,000 orang terbunuh dan memaksa separuh daripada penduduk keluar dari rumah mereka. – AFP, 2 April 2023.
Komen