3 rakyat Britain ditahan di Afghanistan


Taliban kembali berkuasa di Afghanistan pada Ogos 2021 dan sejak itu mencetuskan kemarahan global dengan polisinya terutama terhadap wanita dan gadis. – Gambar EPA, 2 April, 2023.

TIGA lelaki warga Britain ditahan oleh Taliban di Afghanistan, kata sebuah kumpulan bukan berasaskan keuntungan United Kingdom (UK) Presidium Network pada Sabtu.

Kumpulan itu berkata di Twitter ia bekerja rapat dengan dua keluarga mangsa terlibat.

“Kami bekerja keras untuk mendapatkan hubungan konsular dengan warga Britain yang ditahan di Afghanistan dan menyokong keluarga mereka,” tambah kementerian luar UK dalam satu kenyataan.

Scott Richards dari Presidium Network memberitahu Sky News: “Kami percaya mereka berada dalam keadaan sihat dan dilayan dengan baik.

“Kami tidak mempunyai sebab untuk mempercayai mereka tertakluk kepada sebarang layanan negatif seperti penyeksaan dan kami diberitahu mereka dalam keadaan baik.”

Kedua-dua lelaki itu dipercayai ditahan oleh Taliban sejak Januari.

Tidak diketahui berapa lama lelaki ketiga itu ditahan.

Salah faham

Laporan media menamakan lelaki itu sebagai doktor amal Kevin Cornwell, 53, pengurus hotel untuk pekerja bantuan dan bintang YouTube Miles Routledge yang tidak dinamakan.

Presidium di Twitter menggesa Taliban mempertimbangkan ia sebagai salah faham dan membebaskan lelaki ini.

Tahun lalu Taliban membebaskan seorang jurukamera televisyen veteran dan empat lagi warga Britain yang ditahannya selama enam bulan.

Peter Jouvenal adalah seorang daripada “sebilangan” rakyat Britain yang dikatakan kerajaan di London ditahan.

Kementerian luar Britain berkata kelima-lima mereka tidak mempunyai peranan dalam tugas kerajaan UK di Afghanistan dan pergi ke sana berlawanan dengan nasihat perjalanan kerajaan UK.

“Ini adalah satu kesilapan,” tambahnya.

Pada masa itu, jurucakap kerajaan Afghanistan Zabihullah Mujahid menuduh rakyat Britain menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang negara dan tradisi rakyat Afghanistan.

“Selepas pertemuan berturut-turut antara IEA (Emiriah Islam Afghanistan) dan Britain, mereka dibebaskan… dan diserahkan kepada negara asal mereka,” katanya.

“Mereka berjanji untuk mematuhi undang-undang Afghanistan, tradisi dan budaya rakyatnya dan tidak akan melanggarnya lagi,” tambahnya.

Taliban kembali berkuasa pada Ogos 2021 dan sejak itu mencetuskan kemarahan global dengan polisinya terutama terhadap wanita dan gadis. – AFP, 2 April 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen