Afrika Selatan hantar wakil ke Rusia bincang order baharu global


Timbalan Menteri Tadbir Urus Koperasi dan Hal Ehwal Tradisional Afrika Selatan Obed Bapela ketuai delegasi ke Moscow. – Gambar Kerajaan Afrika Selatan, 2 April 2023.

PARTI ANC yang memerintah Afrika Selatan berkata semalam ia menghantar pegawai kanan ke Rusia untuk membincangkan penyusunan semula order baharu global dengan parti Presiden Vladimir Putin.

“Lawatan itu susulan jemputan dari United Russia Party, parti politik terbesar Rusia dan sekutu serta rakan lama kepada ANC,” kata parti Afrika Selatan itu.

“Ia akan termasuk perbincangan mengenai susunan semula order global untuk membalikkan kesan neo-kolonialisme dan dunia unipolar yang wujud sebelum ini.”

Moscow sejak bertahun lamanya cuba untuk mengukuhkan hubungan politik dan ekonominya dengan negara-negara di seluruh Afrika, dan pada Jumaat, Putin menandatangani dasar luar baharu yang bertujuan untuk mengekang “penguasaan” Barat.

Afrika Selatan pula enggan mengutuk pencerobohan Ukraine yang menyebabkan dunia mengasingkan Moscow, berkata ia mahu kekal berkecuali dan lebih suka dialog untuk menamatkan perang.

Delegasi ANC diketuai oleh Obed Bapela, yang mengetuai suruhanjaya perhubungan antarabangsa ANC, tiba pada Khamis dan dijangka berada di sana sehingga hari ini.

Afrika Selatan dijadualkan pada Ogos menjadi tuan rumah sidang kemuncak BRICS, blok yang menghimpunkan negara yang mempunyai ekonomi pesat membangun seperti Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Pada Februari, Afrika Selatan menjadi tuan rumah latihan ketenteraan bersama yang kontroversi dengan Rusia dan China, manakala Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov mengadakan lawatan rasmi ke Pretoria pada Januari.

Hubungan Afrika Selatan dengan Rusia bermula sejak beberapa dekad, apabila Kremlin menyokong ANC dalam memerangi apartheid. – AFP, 2 April 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen