Iran arah wanita didakwa diserang kerana tidak pakai tudung ditahan


Wanita di Iran diwajibkan memakai tudung dan menjadi kesalahan jika ia gagal dipatuhi. – Gambar EPA, 2 April, 2023.

PIHAK berkuasa Iran mengarahkan penahanan dua wanita, kata badan kehakiman pada Sabtu, selepas video tular menunjukkan mereka diserang oleh seorang lelaki kerana tidak memakai tudung.

Rakaman video yang dikongsi secara meluas di media sosial di Iran menunjukkan dua pelanggan wanita, yang tidak memakai tudung di sebuah kedai diserang oleh seorang lelaki selepas berlaku pertengkaran.

Rakaman menunjukkan lelaki itu menuang baldi yang kelihatan seperti yogurt ke atas kepala dua wanita itu sebelum berdepan dengan pekedai.

Pihak berkuasa mengeluarkan waran tangkap terhadap lelaki itu “atas tuduhan melakukan perbuatan menghina dan mengganggu ketenteraman”, lapor laman web badan kehakiman Mizan Online.

Tetapi ia menambah waran tangkap juga dikeluarkan terhadap kedua-dua wanita itu kerana “melakukan perbuatan terlarang” dengan menanggalkan tudung mereka.

“Notis yang diperlukan telah dikeluarkan kepada pemilik kedai di mana perkara ini berlaku untuk mematuhi undang-undang dan prinsip Syariah mengikut peraturan,” tambahnya.

Ia berlaku selepas kematian dalam tahanan seorang wanita Kurdish Iran Mahsa Amini pada September yang mencetuskan bantahan berbulan-bulan selepas wanita berusia 22 tahun itu ditahan kerana dakwaan melanggar kod berpakaian untuk wanita.

Ratusan orang terbunuh, termasuk berpuluh-puluh anggota keselamatan, dan ribuan  ditangkap berkaitan dengan apa yang disifatkan oleh pegawai Iran sebagai “rusuhan” yang dicetuskan oleh Israel dan Barat.

Pada Sabtu, Presiden Iran Ebrahim Raisi mengulangi gesaan yang menegaskan wanita Iran harus memakai hijab sebagai “keperluan agama”.

“Hijab adalah perkara yang sah dan wajib dipatuhi,” katanya.

Pada akhir Mac, ketua badan kehakiman Gholamhossein Mohseni Ejei berkata “menanggalkan hijab sama dengan permusuhan terhadap nilai dan orang yang melakukan keabnormalan itu akan dihukum”. – AFP, 2 April 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen