PEMIMPIN Myanmar, Aung San Suu Kyi, mempunyai kekebalan daripada didakwa, kata peguam negara Australia pada Ahad selepas permohonan undang-undang difailkan untuk memastikan beliau bertanggungjawab terhadap “jenayah kemanusiaan”.
Sekumpulan individu yg terdiri daripada peguam Australia memfailkan permohonan persendirian di Mahkamah Majistret Melbourne yang cuba mendakwa Suu Kyi berhubung kekejaman kepada etnik minoriti Rohingya Islam.
Ia susulan kehadiran pemenang Nobel itu pada sidang kemuncak khas para pemimpin Asia Tenggara di Sydney.
Hampir 700,000 Rohingya melarikan diri dari negeri Rakhine di Myanmar ke Bangladesh sejak pihak berkuasa melancarkan serangan keras enam bulan lalu yang didakwa PBB sebagai “pembersihan etnik”.
Myanmar dengan tegas menafikan tuduhan itu, mengatakan ia bertindak balas terhadap serangan oleh militan Rohingya pada akhir Ogos.
Peguam Negara Christian Porter berkata Suu Kyi tidak boleh didakwa di Australia, atau ditangkap atau ditahan.
“Aung San Suu Kyi mempunyai imuniti penuh,” katanya dalam satu kenyataan.
“Ini termasuklah daripada menerima dokumen mahkamah kerana di bawah undang-undang adat antarabangsa, ketua negara, ketua kerajaan dan menteri luar negara tidak terlibat dalam prosiding jenayah asing dan tidak boleh dicabul.”
Suu Kyi menerima kritikan hebat daripada masyarakat dunia kerana berdiam diri dengan kekejaman di Myanmar, termasuk dakwaan rogol, pembunuhan dan pembakaran.
Pihak pendakwa persendirian mendakwa beliau melakukan jenayah terhadap kemanusiaan melalui pengusiran dan pemindahan secara paksa orang Rohingya.
Seorang daripada peguam terbabit, Alison Battison, memberitahu Sydney Morning Herald yang keputusan Porter itu boleh dirayu.
“Peguam negara masih belum memberi respons kepada kepada kami, tetapi apabila beliau melakukannya, kami akan membincangkannya,” katanya.
“Kami tidak akan melakukannya jika kami tidak fikir kami mempunyai peluang ... ia adalah contoh jelas mengenai jenayah terhadap kemanusiaan.”
Suu Kyi tidak mengulas secara terbuka sejak tiba di Australia pada Sabtu sempena menghadiri sidang kemuncak serantau itu, tetapi dijadualkan menerima soalan pada acara media, Selasa ini.
Perdana Menteri Malaysia Najib Razak memberi tekanan pada Sabtu apabila berkata isu Rohingya boleh mengancam keselamatan serantau.
Bercakap di Sydney dengan Suu Kyi yang duduk hanya beberapa meter jauhnya, beliau memberi amaran ramai orang yang terdesak boleh menjadi mangsa kepada kumpulan ekstremis seperti Islamic State (IS).
“Disebabkan penderitaan orang Rohingya dan perpindahan di sekitar rantau ini, keadaan di negeri Rakhine dan Myanmar tidak lagi boleh dipertimbangkan sebagai hal domestik semata-mata,” katanya.
“Di samping itu, masalah itu tidak harus dilihat melalui prisma kemanusiaan hanya kerana ia berpotensi menyebabkan ancaman keselamatan yang serius kepada rantau ini.”
Beliau menambah Malaysia bersedia membantu mencari “penyelesaian yang adil dan berpanjangan”, tetapi tidak menghuraikan lebih lanjut apa yang mungkin dilibatkan.
Suu Kyi akan tiba di Canberra pada Isnin untuk perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull sebelum ke Institut Lowy Sydney pada Selasa. – AFP, 18 Mac, 2018.
Komen