Inflasi Pakistan tertinggi dalam tempoh 50 tahun


Inflasi bulan ke bulan adalah 3.72%, menurut data kerajaan yang dikeluarkan pada Sabtu, manakala kadar inflasi purata bagi tahun lalu adalah 27.26%. – Gambar AFP, 1 April, 2023.

INFLASI tahun ke tahun Pakistan mencecah 35.37% pada Mac - tertinggi dalam hampir lima dekad - ketika kerajaan bergegas untuk memenuhi syarat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi membantu menyelamatkan negara itu.

Inflasi bulan ke bulan adalah 3.72%, menurut data kerajaan yang dikeluarkan pada Sabtu, manakala kadar inflasi purata bagi tahun lalu adalah 27.26%.

Selepas bertahun-tahun salah urus kewangan dan ketidakstabilan politik mendorong ekonomi Pakistan ke ambang kehancuran, diburukkan lagi oleh krisis tenaga global dan banjir yang menenggelamkan satu pertiga daripada negara itu pada 2022.

Negara itu memerlukan pembiayaan berbilion dolar untuk membayar hutang sedia ada, manakala rizab pertukaran asing berkurangan dan rupee jatuh dengan teruk.

Rakyat Pakistan yang miskin berasakan kegawatan ekonomi yang teruk dan sekurang-kurangnya 20 orang terkorban sejak permulaan bulan puasa Ramadan dalam kumpulan orang ramai di pusat pengedaran makanan.

“Dengan cara inflasi meningkat ketika ini, saya percaya situasi seperti kebuluran sudah melanda,” kata Shahida Wizarat, seorang penganalisis yang berpangkalan di Karachi.

Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh pada Jumaat dalam kekecohan orang ramai di bandar selatan Pakistan, Karachi di sebuah kilang yang mengagihkan sedekah Ramadan. – AFP, 1 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen