RTM cari kandungan baharu pikat penonton muda, kata Fahmi Fadzil


RTM cari kandungan baharu pikat penonton muda, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2023.

JABATAN Penyiaran Malaysia (RTM) yang kini berusia 77 tahun akan terus memainkan peranan penting dalam menyampaikan agenda nasional kepada rakyat dengan penyampaian segar dan baharu meskipun berdepan pelbagai cabaran, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pada masa ini, RTM yang menjadi suara penghubung antara kerajaan dengan rakyat menerusi enam saluran TV dan 34 stesen radio juga berdepan cabaran evolusi landskap media semasa khususnya penggunaan media sosial, perubahan pola dan citarasa pendengar dan penonton.

“Saya percaya dengan Ketua Pengarah RTM Suhaimi Sulaiman dengan pengalaman beliau dan sokongan pasukan di RTM ... kita akan menyaksikan perubahan positif iaitu kita boleh menyantuni kelompok dan golongan sasar terutama anak-anak muda yang mungkin kita lihat cita rasa mereka mula berubah.

“Kita ambil kesempatan ini untuk mencari kandungan baharu, format baharu yang akan mendapatkan lebih ramai penonton dalam kalangan anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu di TraXXfm selain turut serta dalam program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM sempena Sambutan Ulang Tahun RTM ke-77 di Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya mengenai isu literasi media dalam kalangan penonton dan pengguna media sosial, Fahmi berkata media turut memainkan peranan dalam mendidik pengguna bagi menentusahkan sesuatu maklumat atau hebahan.

“Di situ, saya lihat saluran seperti Berita RTM,  TV1 dan TV2 serta radio-radio di bawah selenggaraan dan jagaan RTM itu memainkan peranan penting supaya rakyat dapat memisahkan antara fakta dengan fitnah, ini sangat penting.

“Saya juga lihat kita perlu ada satu proses libat urus bersama dengan pengamal media untuk memastikan etika kewartawanan itu dipertingkatkan.

“Ini kerana literasi media bergantung kepada wartawan-wartawan yang faham, fasih dan bersedia untuk tidak berkompromi mendapatkan pembaca dengan meletakkan tajuk sensasi yang panas yang mungkin luar tajuk sebenarnya, perkara ini penting untuk mengelak fitnah daripada tersebar luas,” katanya.

Beliau berkata negara mampu lebih maju sekiranya pihak kerajaan, pengamal media, penonton dan pengguna media sosial lebih bertanggungjawab terhadap peranan masing-masing dalam menjaga kemaslahatan umum, keamanan dan mematuhi undang-undang negara.

Ditanya mengenai cadangan meminda beberapa akta di bawah kementeriannya, beliau berharap beberapa akta itu akan dapat dibentang bagi perbahasan dan diluluskan di Parlimen sebelum hujung tahun ini memandangkan perkara itu masih dalam proses libat urus.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha kementerian itu Mohammad Mentek, Ketua Pengarah RTM Suhaimi Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

Sempena sambutan ulang tahun itu, RTM turut menggerakkan dua pelan utama berpaksikan Pelan Strategik 2021-2025 dan Pelan Transformasi RTM 2021-2023 melibatkan empat tunjang keutamaan merangkumi radio, televisyen, media baharu dan kejuruteraan dari segi infrastruktur.

Hal ini bagi menjamin penyampaian hebahan maklumat RTM sentiasa pada tahap optimum dan diterima rakyat secara keseluruhannya. – Bernama, 1 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen