Andrew Tate diarah jalani tahanan rumah


Andrew Tate dan adiknya, Tristan, ditahan di Romania kerana dituduh membentuk kumpulan jenayah terancang, penyeludupan manusia dan rogol. – Gambar AFP, 1 April, 2023.

PEMPENGARUH kontroversi Andrew Tate dan adik lelakinya dibebaskan pada Jumaat selepas ditahan di Romania, mereka diarah menjalani tahanan rumah sementara menunggu siasatan atas tuduhan penyeludupan manusia dan rogol.

Tate, warga British-Amerika dengan jutaa pengikut media sosial, bersama-sama adik lelakinya dan dua wanita warga Romania sedang disiasat atas tuduhan “membentuk kumpulan jenayah terancang, penyeludupan manusia dan rogol”.

Tate, 36, dan adiknya Tristan,34, ditangkap pada hujung Disember lepas dan diletakkan di pusat tahanan, dengan tempoh tahanan dilanjutkan sekali lagi minggu lepas.

Bagaimanapun, mahkamah rayuan “menolak cadangan pendakwaan untuk melanjutkan tahanan sebelum bicara” dan mengarahkan kedua-dua mereka diletakkan “di bawah tahanan rumah”, menurut dokumen mahkamah dilihat AFP.

Ditemani peguam Romania, dua beradik itu-yang menafikan tuduhan ke atas mereka- dibebaskan sekitar tengah malam tadi dari pusat tahanan pusat di Bucharest.

Pembebasan mereka mendapat liputan besar-besaran media dan pengikut yang memanggil nama gelaran Tate, “Top G”.

Andrew tidak menjawab soalan wartawan, bagaimanapun adiknya Tristan berkata hakim membuat “keputusan tepat” dan berikrar membuktikan “yang mereka tidak bersalah”.

Peguam mereka, Euhean Vidineac berkata dua beradik itu dilarang daripada menghubungi pihak yang terlibat dalam kes itu dan tidak “boleh meninggalkan rumah tanpa kebenaran awal badan kehakiman.”

Beliau turut menegaskan yang anak guamnya tidak mempunyai risiko penerbangan.

“Tiada sebab untuk mereka melarikan diri, kerana melarikan diri adalah hidup yang sukar dan mereka tidak mahukannya. Mereka Cuma penat dan mahu berehat,” katanya.

Dua beradik itu berpindah ke Romania beberapa tahun lepas dengan Tristan mempunyai seorang anak lelaki yang dilahirkan selepas dia ditahan.

Dalam sebahagian proses siasatan, polis Romania merampas beberapa hartanah, pelbagai aset termasuk koleksi kereta mewah dikaitkan dengan dua beradik itu.

Dokumen mahkamah pada Januari berkata yang seorang wanita “direkrut” dari Britain selepas jatuh cinta dengan Andrew Tate yang membawanya ke Romania dengan “tujuan eksploitasi seksual”.

Dua beradik itu serta dua warga Romania ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan manusia, rekrut dan eksploitasi wanita bagi memaksa mereka “melakukan kelakuan lucah untuk dilihat dengan mengeluarkan dan menerbitkan bahan tersebut secara dalam talian”.

Video Tate yang sering menayangkan badan sasa, cerut dan kereta mewah yang dimuat naik di media sosial menjadi tumpuan ramai remaja lelaki.

Dia turut memberikan tip kejayaan yang didasari ucapan kebencian misogynist dan keganasan meletakkannya antara pempengaruh Britain paling berjaya.

Pada 2016, Tate muncul dalam rancangan realiti TV “Big Brother” di Britain tetapi disingkirkan selepas videonya memukul seorang wanita tular.

Dia kemudiannya menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan pandangan memecah belah dan ucapan kebencian sebelum disekat.

Tate dibenarkan kembali ke Twitternya yang mempunyai 5.5 juta pengikut selepas hartawan Afrika Selatan Elon Musk membeli syarikat itu. – AFP, 1 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen