PUTING beliung besar membadai selatan Amerika Syarikat (AS) iaitu di Arkansas, semalam, menyebabkan kemusnahan dengan 24 mangsa terpaksa dirawat di hospital.
Saksi, Lara Farrar berkata kemusnahan di West Little Rock amat mengejutkan dengan ada bumbung tercabut dari bangunan.
Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Gabenor Sarah Huckabee Sanders berkata Pengawal Negara diaktifkan bagi membantu perkhidmatan kecemasan bekerjasama dalam memberikan bantuan kepada mangsa.
“Kemusnahan teruk berlaku di Arkansas,” katanya.
Perkhidmatan Cuaca Negara mengeluarkan amaran puting beliung di beberapa bahagian di negeri berjiran iaitu Tennessee, Illinois dan Iowa.
Datuk Bandar Little Rock Frank Scott Jr berkata setakat ini 24 mangsa sedang dirawat di hospital di sekitar kawasan itu.
“Kemusnahan harta benda amat jelas,” katanya.
Lebih 78,000 penduduk terputus bekalan elektrik di seluruh negeri itu, kata Poweroutage.us.
Jurucakap hospital Baptist Health berkata ia sedang bersiap sedia untuk merawat mangsa, lapor media tempatan.
Hospital Universiti Arkansas juga dalam keadaan bersedia, kata jurucakap.
Puting beliung adalah fenomena biasa di AS, terutama di bahagian tengah dan selatan negara itu.
Seminggu lalu, puting beliung membadai Rolling Fork, sebuah bandar kecil di Mississippi, menyebabkan 13 terbunuh dan kemusnahan harta benda.
Pada Disember 2021, seramai 80 mangsa maut akibat puting beliung di Kentucky. – AFP, 1 April, 2023.
Komen