ITALI pada Jumaat menyekat sementara ChatGPT kerana kebimbangan privasi data, menjadi negara barat pertama bertindak ke atas chatbot popular kecerdasan buatan (AI) itu.
Pihak Berkuasa Perlindungan Data Itali berkata syarikat AS, OpenAI, yang mencipta ChatGPT, tidak mempunyai asas perundangan untuk “mengutip dan menyimpan data peribadi secara besar-besaran bagi tujuan ‘latihan’ algoritma yang mendasari operasi platform itu.”
ChatGPT mencetuskan sensasi dunia apabila dikeluarkan tahun lepas kerana kemampuannya menjana esei, lagu, soalan dan jawapan peperiksaan serta laporan berita hanya berdasarkan ajuan ringkas.
Tetapi pengkritik mempertikaikan kemampuan perolehan dan pemprosesan data ChatGPT dan pesaingnya yang lain.
Beberapa buah university dan pihak berkuasa pendidikan sudah mengharamkan chatbot kerana kebimbangan pelajar boleh menggunakannya untuk menulis esei dan menipu dalam peperiksaan.
Dan ratusan pakar dan tokoh industri menandatangani surat terbuka minggu lepas bagi mendesak penangguhan pembangunan sistem AI yang berkuasa, berhujah yang ia “mendatangkan risiko kepada masyarakat dan kemanusiaan”.
Surat itu dikeluarkan selepas OpenAI mengeluarkan GPT-4 beberapa bulan sebelum ini, versi lebih canggih chatbot dan kekurangan ketelusan tentang sumber datanya.
OpenAI pada Jumaat berkata ia sudah “menyahguna ChatGPT di Itali”.
“Kami komited dalam melindungi privasi individu dan kami percaya kami mematuhi undang-undang privasi. Kami secara aktif bekerja untuk mengurangkan data peribadi dalam latihan sistem AI kami seperti ChatGPT kerana kami mahu AI kami untuk belajar tentang dunia, bukan kehidupan peribadi individu,” kata jurucakap OpenAI.
“Kami juga percaya yang penyeliaan AI adalah satu keperluan dan kami sedia untuk bekerjasama dengan (pihak berkuasa Itali) dan mendidik mereka tentang bagaimana sistem kami dibina dan digunakan,” kata jurucakap.
“Pengguna kami di Itali memberitahu yang mereka mendapati ChatGPT membantu untuk urusan harian dan kami bersedia kembali menawarkannya kepada semua tidak lama lagi.”
Pihak berkuasa Itali mengenakan “batasan sementara pemprosesan data pengguna Itali” oleh OpenAI dan berkata ia sudah melancarkan siasatan.
Selain ketiadaan asas perundangan untuk pengutipan data, pihak berkuasa juga mempersoalkan kekurangan ketelusan sumber data yang dikutip.
Badan pemantau juga merujuk kepada kebocoran data berlaku pada 20 Mac apabila perbualan dan maklumat pembayaran pengguna terjejas- situasi yang menurut OpenAI berlaku kerana masalah pepijat.
Dua lagi tuduhan juga bermasalah besar iaitu model dilatih menggunakan data peribadi yang dikumpul tanpa kebenaran dan tidak diproses serta disimpan dengan baik.
Syarikat diberikan tempoh 20 hari untuk memberikan maklum balas dan berdepan denda 20 juta euro atau hingga 4% perolehan tahunan.
Kejayaan ChatGPT membolehkan OpenAI membuat perjanjian bernilai berbilion dolar dengan Microsoft yang menggunakan teknologi itu untuk enjin carian Bing dan pelbagai program lain.
Ia juga mencetuskan perlumbaan teknologi dalam kalangan gergasi teknologi lain dengan Google mempercepatkan pengeluaran chatbotnya dan pelabur melabur dalam pelbagai projek AI. – AFP, 1 April, 2023.
Komen