SEKURANG-KURANGNYA 11 terbunuh dalam rempuhan orang ramai ketika menerima sumbangan Ramadan di Karachi, semalam.
Pegawai kanan polis Bandar Baldia di barat Karachi Fida Janwari berkata rempuhan itu berlaku apabila sekumpulan wanita berpusu-pusu ke lokasi agihan sumbangan bagi mendapatkan bekalan untuk anak masing-masing.
Sehubungan itu, katanya, tiga pekerja kilang ditahan kerana gagal memaklumkan penganjuran acara terbabit kepada polis, bagi membolehkan kawalan dilakukan di situ.
“Orang ramai mula berlari untuk cuba meloloskan diri selepas keadaan bertukar panik,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Muhammad Farraukh berkata mayat enam wanita dan tiga kanak-kanak dibawa ke hospital Abbasi Shaheed.
Seorang pegawai pertubuhan bukan kerajaan berkaitan penyelamat berkata, dua mayat lagi dihantar ke hospital lain, manakala pakar bedah polis, Summaiya Syed Tariq mengesahkan jumlah keseluruhan mangsa yang maut 11 orang, semalam.
Pakistan dilanda kegawatan ekonomi sejak beberapa bulan lalu, selain kejatuhan rupee menyebabkan harga makanan ruji meningkat hampir 50% ketika Islamabad berdepan krisis imbangan pembayaran yang memaksanya mengadakan rundingan jaminan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Sementara itu, Pegawai pentadbiran tempatan, Fatima Noor menganggarkan sehingga 700 orang berkumpul di kawasan terbabit.
“Semua orang menyerbu masuk sejurus pintu dibuka,” katanya yang juga adik kepada antara mangsa terkorban dalam kejadian itu. – AFP, 1 April, 2023.
Komen