LAPAN orang termasuk dua kanak-kanak ditemui mati di kawasan berpaya berhampiran sempadan Kanada-AS selepas cuba memasuki AS secara haram, kata polis pada Jumaat.
Mayat mereka ditemui berhampiran sebuah bot karam milik seorang lelaki berasal dari komuniti Akwesasne Mohawk yang dilaporkan hilang, kata pegawai.
“Lapan mayat dijumpai dalam air,” kata Ketua Polis Tempatan Shawn Dulude pada satu sidang media.
Enam mayat yang mula-mula sekali ditemui berasal daripada dua keluarga- satu keluarga Romania dengan pasport Kanada, satu lagi dari India. Mereka ditemui pada lewat malam Khamis, termasuk seorang kanak-kanak berusia bawah tiga tahun.
Dua lagi dilaporkan ditemui pada Jumaat adalah seorang bayi lelaki “warganegara Kanada berketurunan Romania dan seorang wanita dewasa dipercayai warga India.”
Pihak berkuasa Kanada percaya kesemua mereka cuba memasuki AS secara haram dari Kanada.
Jajahan puak Mohawk terletak di sempadan daerah Quebec dan Ontario di Kanada dan New York di AS.
Bot yang karam itu digambarkan sebagai “sangat kecil” untuk berlindung daripada cuaca buruk termasuk hujan dan angin kencang.
“Ia bukan masa yang baik untuk berada di air,” kata Timbalan Ketua Polis Tempata Lee-Ann O’Brien pada sidang media awal hari ini.
Dulude menambah yang cubaan melintas itu kadang-kala dimulakan orang tempatan, terutamanya golongan muda yan tertarik dengan wang dan dieksploitasi oleh organisasi jenayah.
Mayat pertama dijumpai ketika misi mencari di kawasan itu.
Pihak berkuasa sedang menunggu laporan bedah siasat serta ujian racun bagi mengenal pasti punca kematian.
Perdana Menteri Justin Trudeau berkata kepada wartawan yang: “Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Ini adalah situasi yang menyedihkan.”
O’Brien memberitahu media yang terdapat “peningkatan jumlah mereka yang melalui Akwesasne untuk cuba memasuki AS,” dengan 48 kes dilaporkan tahun ini sahaja.
Sebaik memasuki AS, mereka akan dipindahkan ke New York, katanya.
Beberapa bulan lepas, dua lagi maut berhampiran sempadan dalam cubaan mereka melintasi ke AS dari Kanada.
Kedua-dua negara mempunyai aturan bagi menguruskan isu kemasukan pendatang tanpa izin yang semakin membimbangkan di sempadan semasa lawatan Presiden Joe Biden ke Ottawa, minggu lepas.
Aturan itu menyaksikan pengusiran pulang pencari suaka yang memasuki AS secara haram dengan Kanada memperluaskan kaedah kemasukan secara sah.
Pelan itu yang serupa dengan tindakan imigresen di sempadan AS-Mexico dikecam hebat aktivis.
Bagaimanapun, Biden dan Trudeau sedang berdepan tekanan politik bagi memperbaiki sistem imigresen negara masing-masing yang berdepan isu pengurusan dan penguatkuasaan. – AFP, 1 April, 2023.
Komen