HAMAS pada Sabtu bertindak menutup sebuah syarikat telekomunikasi utama di Gaza, menuduh ia gagal bekerjasama dalam siasatan ke atas percubaan bunuh terhadap Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah.
Perdana Menteri Palestin yang berpusat di Tebing Barat yang diduduki, tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden pada Selasa apabila bom di tepi jalan meletup berhampiran konvoinya semasa lawatan yang jarang berlaku ke Semenanjung Gaza yang dikuasai Hamas.
Enam pengawalnya cedera ringan dan bom kedua gagal meletup, menurut pegawai.
Polis Hamas di Gaza berkata mereka menutup pejabat syarikat Palestin Wataniya Mobile di wilayah Palestin, berdasarkan keputusan pendakwa raya negara.
Satu kenyataan berkata pendakwa menuduh penyedia perkhidmatan mudah alih itu “enggan bekerjasama dengan penyiasatan pengeboman Beit Hanoun”, merujuk kepada kawasan di mana bom tersebut meletup.
Ia tidak memberikan butiran lanjut dan tiada respons daripada syarikat itu.
Perkhidmatan telefon mudah alih Wataniya tidak dipotong.
Tiada mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab bagi serangan bom pada Selasa itu.
Hamas melancarkan siasatan dan membuat beberapa penangkapan.
Percubaan bunuh itu merumitkan perjanjian perdamaian yang sudah hancur antara Hamas dan Fatah yang dipimpin Presiden Mahmud Abbas.
Selepas serangan itu, Abbas berkata Hamas betanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden itu.
Hamas pula menyalahkan Israel, yang membunuh beberapa pemimpin Palestin selama ini.
Lain-lain suspek termasuk kumpulan Islam yang lebih kecil dan radikal yang beroperasi di Gaza tetapi menentang Hamas. – AFP, 18 Mac, 2018.
Komen