5 ditahan berkait kes kebakaran pusat tahanan pendatang di Mexico


LIMA orang yang disyakit terbabit dalam kebakaran di sebuah pusat tahanan pendatang di bandar Ciudad Juarez yang mengorbankan sekurang-kurangnya 39 orang, sudah pun ditahan, kata Setiausaha Keselamatan Awam Mexico Rosa Icela Rodriguez.

Beliau berkata lima daripada enam waran tangkap yang dikeluarkan berhubung kejadian itu oleh pihak pendakwa raya, sudah diserahkan.

“Lima waran tangkap sudah dilaksanakan. Ada seorang lagi (yang belum ditahan) yang lainnya sudah pun dihadapkan ke hadapan hakim,” kata Rodriguez di sidang media pada Khamis.

Pada 28 Mac lalu, kebakaran berlaku di sebuah pusat tahanan untuk pendatang yang cuba menyeberangi sempadan Amerika Syarikat-Mexico secara haram.

Menurut Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador tahanan membakar diri kerana membantah keputusan menghantar mereka pulang.

Rodriguez berkata waran itu dikeluarkan ke atas tiga pegawai imigresen, dua pengawal keselamatan swasta dan seorang pendatang yang didakwa memulakan kebakaran itu, lapor Sputnik.

Sekurang-kurangnya 39 maut dan 28 lagi cedera. Semua mangsa sudah pun dikenal pasti. Majoriti berasal dari Guatemala tetapi ada juga mangsa yang datang dari El Salvador, Venezuela, Honduras dan Colombia. – Bernama, 31 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen