Penghakiman berbeza beri harapan baharu kes Najib, kata Shafee


Ravin Palanisamy

Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib Razak pada sidang media di Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 31 Mac 2023.

PENGHAKIMAN bertentangan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli dalam keputusan yang menolak permohonan Najib Razak untuk menyemak semula sabitan dan hukuman kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd memberi sinar baharu kepada pihak pembelaan, kata Muhammad Shafee Abdullah.

Hakim Abdul Rahman yang mempengerusikan panel lima hakim hari ini satu-satunya hakim yang menentang keputusan majoriti 4-1 yang menolak rayuan terakhir Najib hari ini.

Shafee berkata keputusan bertentangan Abdul Rahman itu akan membuka jalan lain dalam kes Najib. Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada permohonan semakan kedua akan difailkan.

“Ini bukan penamat. Boleh ada satu lagi prosiding mahkamah. Hasil daripada penghakiman minoriti, ada laluan yang dibuka.

 “Ada kes semakan bukan sekali sahaja dilakukan. Selagi ada asas untuk semakan baharu, ia boleh dibuat,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1 hari ini menolak usaha terakhir Najib untuk untuk dibebaskan dari sabitan kes penyelewengan dana SRC International.

Panel hakim mencapai keputusan majoriti 4-1 untuk menolak permohonan beliau untuk menyemak semula sabitan hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana itu.

Lima panel hakim yang bersidang membabitkan Abdul Rahman bersama hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Hakim Vernon Ong Lam Kiat ketika menyampaikan keputusan itu berkata tiada kesilapan mahkamah ketika pendengaran rayuan Najib oleh panel hakim tahun lalu.

Keputusan itu mengekalkan Najib di Penjara Kajang untuk menjalani baki tempoh pemenjaraan 12 tahun. – 31 Mac 2023. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen