Fahmi arah SKMM selesai isu mutu khidmat telekomunikasi


Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata SKMM dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan melibatkan pihak penyedia perkhidmatan. – Gambar Facebook KKD, 30 Mac 2023.

KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) sedang meneliti langkah-langkah penyelesaian yang boleh dilakukan bagi memastikan mutu serta kualiti perkhidmatan syarikat telekomunikasi menyamai atau melebihi apa yang dijanjikan kepada orang ramai.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan melibatkan pihak penyedia perkhidmatan.

“Saya juga guna Internet di rumah, tapi (kelajuan) yang dipaparkan memang ada beberapa isu, sebahagiannya teknikal, sebahagian berkaitan dengan bila Internet itu digunakan, waktu itu mungkin waktu puncak ramai yang menggunakan.

“Perkara sama juga berlaku bagi akses jalur lebar tanpa wayar yang dipasang di pos Orang Asli di Gua Musang sebagai contoh, perancangannya adalah untuk dua tahun tapi dalam masa dua tiga bulan kesesakan rangkaian itu telah berlaku,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap (Home Internet) di Sungai Petani hari ini.

Beliau berkata selain perkhidmatan berkaitan kemudahan jalur lebar, isu liputan rangkaian telekomunikasi di sesuatu kawasan juga merupakan antara yang diteliti kementerian untuk diselesaikan.

Menurut Fahmi masalah ‘dropped calls’ atau panggilan terputus yang terjadi disebabkan isu teknikal berkaitan perkongsian rangkaian antara menara telekomunikasi, turut diharap dapat diselaraskan antara syarikat telekomunikasi menjelang Jun ini.

“Ini masalah yang saya minta SKMM untuk teliti. Ia mungkin makan masa tapi penyelesaian secara dasar saya percaya kita dapat laksanakan menjelang Jun ini,” katanya.

Sementara itu, mengenai Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap yang dilancarkan hari ini, Fahmi berkata ia menawarkan perkhidmatan dengan kelajuan hingga 30 Mbps dan data tanpa had dengan harga RM69 sebulan serta kontrak langganan selama 24 bulan.

Katanya harga pakej yang ditawarkan itu adalah 22% lebih murah berbanding harga pakej semasa sekitar RM89 dengan spesifikasi sama, sekali gus membolehkan penjimatan sebanyak RM480 sepanjang tempoh kontrak.

“Pengenalan pakej ini selaras dengan komitmen kerajaan perpaduan untuk mengurangkan kos sara hidup bagi golongan sasar pakej ini iaitu golongan B40, veteran Angkatan Tentera Malaysia, pesara polis, pesara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, orang kurang upaya serta warga emas,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKD Mohammad Mentek, Ketua Pegawai Operasi SKMM Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dan Ketua Pegawai Korporat dan Kawal Selia Telekom Malaysia Tengku Muneer Tengku Muzani. – Bernama, 30 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen