RANG undang-undang (RUU) baharu yang dibentang kali ketiga hari ini diluluskan bagi memudahkan rakyat New Zealand membuktikan identiti digital mereka dengan selamat.
RUU Rangka Kerja Amanah Perkhidmatan Identiti Digital memastikan sistem digital dipercayai sama ada ketika membuka akaun bank, berkongsi sejarah perubatan, menjalankan perniagaan dalam talian atau memohon perkhidmatan kerajaan, menurut Menteri Ekonomi Digital dan Komunikasi Ginny Andersen.
“Kami tahu rakyat New Zealand mahukan kawalan ke atas maklumat identiti mereka dan cara maklumat itu digunakan oleh syarikat dan perkhidmatan yang mereka kongsikan. Rangka kerja ini akan membantu menjadikannya lebih mudah dan selamat,” Xinhua memetik Andersen sebagai berkata.
Persekitaran identiti digital pada masa kini tidak mempunyai standard yang konsisten, oleh itu rang undang-undang baharu ini akan mewujudkan rangka kerja untuk penyediaan perkhidmatan identiti digital yang selamat, katanya.
Rangka kerja itu akan memudahkan pembuktian identiti digital, kerana transaksi yang sah akan diiktiraf menerusi “trust mark”, menjadikan ia layak untuk diproses secara teratur, kata Andersen. – Bernama, 30 Mac, 2023.
Komen