Tekanan antara faktor pengaruhi kesihatan mental polis, kata KDN


Berdasarkan kajian dalam PDRM yang dilakukan dari 2014 hingga 2018, terdapat tujuh kes bunuh diri dilaporkan dalam kalangan anggota. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2023.

KAJIAN oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati tekanan, status kesihatan dan persekitaran tempat kerja merupakan tiga faktor utama menyumbang kepada masalah kesihatan mental terhadap anggota dan pegawainya.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata faktor tekanan berpunca daripada kekecewaan dalam perhubungan, masalah penyesuaian di penempatan baharu, gagal mengawal daya tindak diri, kesunyian akibat berjauhan dengan keluarga dan masalah perkahwinan.

“Secara jujur dan terus terang, kita mengakui kebelakangan ini ada semacam kecenderungan dalam kalangan petugas warga polis yang ke arah bertindak membunuh diri. Kecenderungan itu dikesan seawal 2015.

“Sebab itu langkah segera telah diambil oleh pasukan polis walaupun kes itu angkanya kecil serta rendah dan boleh diangap terpencil berbanding dengan 130,000 kekuatan anggota, namun setiap nyawa adalah berharga,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai langkah memastikan kesihatan mental dalam kalangan anggota polis, terutama yang memegang senjata api bagi memastikan anggota dapat menjalankan tugas dengan mental stabil.

Menurutnya, sebelum menyusun sebarang langkah dan tindakan bagi mengatasi perkara itu PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menganalisis semua data melalui kajian empirikal.

“Misalnya kajian pada 2014-2018 bertajuk Penerokaan Bunuh Diri Dalam Kalangan Warga Polis mendapati dalam tempoh itu terdapat tujuh kes bunuh diri dan pada tahun ini saja, satu kes yang kita anggap berprofil tinggi di Perlis yang bunuh isteri, manakala di Bayan Lepas dia tembak diri sendiri. 

“Semua itu dalam radar catatan polis…oleh itu kita melihat semua aspek di mana sebelum seorang anggota yang hendak diberikan kebenaran menggunakan senjata api, dia tidak boleh sama sekali ada tanda-tanda gangguan, tekanan dan sebagainya sebelum superiornya membenarkan senjata  dimiliki,” katanya.

Beliau berkata antara ikhtiar dijalankan bagi menangani masalah kesihatan mental termasuk program agama dan kaunseling, program psikologi, program peranan rakan sekerja yang dilatih untuk mengesan sekiranya terdapat anggota menunjukkan tanda-tanda tekanan dan kemurungan.

Katanya, ketika ini juga sedang dijalankan kajian saringan kesihatan mental dan kesejahteraan psikologi polis dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sehingga Jun ini.

Saifuddin berkata untuk pengambilan baharu sejak 2018, PDRM juga telah menguatkuasakan selain kelulusan fizikal, calon juga perlu lulus ujian psikometri dan psikologi sebelum diambil bekerja. – Bernama, 30 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen