PM Perancis jumpa wakil kesatuan pada 5 April


Perdana Menteri Perancis Elisabeth Borne akan bertemu wakil pertubuhan kesatuan sekerja pada 5 April ini bagi membincangkan pembaharuan pencen yang dilanda kontroversi. – Gambar EPA, 30 Mac, 2023.

PERDANA Menteri Perancis Elisabeth Borne akan bertemu wakil pertubuhan kesatuan sekerja pada 5 April ini bagi membincangkan pembaharuan pencen yang dilanda kontroversi, kata timbalan setiausaha agung Konfederasi Buruh Demokratik Perancis (CFDT), Marylise Leon.

Semalam setiausaha agung CFDT Laurent Berger berkata kesatuan sekerja menerima jemputan rasmi daripada ketua kerajaan Perancis itu.

“Jelas, tarikh pertemuan ditetapkan pada Rabu depan (5 April). Kami akan menyertai mesyuarat antara kesatuan dan berbincang dengan perdana menteri. Hampir semua organisasi memberi maklumat balas positif,” lapor Sputnik memetik Leon bercakap kepada badan penyiar Perancis, BFMTV.

Laporan itu bagaimanapun menyatakan Gabungan Am Buruh (CGT) masih belum mengesahkan tarikh itu.

Pembaharuan pencen yang dicadang dilaksanakan kerajaan Perancis pada Januari dan diterima pakai pada Mac, menaikkan had umur persaraan daripada 62 tahun kepada 64 tahun.

Namun sejak awal tahun, masyarakat di seluruh Perancis mula turun ke jalanan untuk membantah pembaharuan itu. – Bernama, 30 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen