JUMLAH kematian akibat tragedi tanah runtuh di selatan Ecuador kini 14, kata pihak berkuasa, dengan pasukan kecemasan bergelut dengan masa untuk mencari mangsa terselamat dalam kalangan berpuluh-puluh yang masih hilang.
Peluang menemui mangsa terselamat agak nipis tetapi penyelamat terus mencari 67 mangsa yang masih hilang di timbunan lumpur, tanah dan sayuran di bandar Alausi, kira-kira 300km di selatan Quito.
Susulan hujan lebat, tanah runtuh berlaku pada Ahad dan menimpa kira-kira 45,000 penduduk, memusnahkan sekurang-kurangnya 163 rumah, kata sekretarian pengurusan risiko SNGR.
Kawasan bencana diletakkan sebagai zon kuning berisiko tinggi sejak Februari susulan kejadian tanah runtuh lain.
Kerajaan membuka tiga pusat perlindungan sementara untuk mangsa terjejas tanah runtuh. Kawasan tanah runtuh membabitkan kawasan seluas 24 hektar dan kira-kira 600 diarahkan keluar berpindah ke tempat perlindungan.
Pasukan penyelamat dan waris terus menggali siang dan malam di kawasan itu. Biasanya mereka menemui barangan peribadi seperti pakaian dan gambar dari lumpur itu.
Wilayah yang sama dilanda gempa bumi hanya seminggu sebelum itu dengan 15 terbunuh.
Selepas beberapa bulan hujan lebat, kerajaan minggu lalu mengisytiharkan darurat dua bulan di 13 daripada 24 wilayah di negara itu.
Presiden Guillermo Lasso berjanji untuk meneruskan usaha menyelamat selama yang diperlukan.
Sejak awal tahun ini, hujan lebat menyebabkan 22 kematian, memusnahkan 72 rumah dan merosakkan 6,900 kediaman sebelum kejadian tanah runtuh pada Ahad. – AFP, 30 Mac, 2023.
Komen