AMERIKA Syarikat (AS) pada Rabu mengecam junta Myanmar kerana membubarkan parti pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi dan memberi amaran langkah itu akan membawa kepada lebih banyak ketidakstabilan.
Suruhanjaya pilihan raya junta Myanmar pada Selasa mengumumkan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) akan dibubarkan kerana gagal mendaftar semula di bawah undang-undang pilihan raya yang digubal oleh tentera.
Tindakan itu dibuat ketika junta bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya yang pihak lawan percaya hanya bertujuan untuk mengukuhkan kuasa tentera, yang menggulingkan kerajaan Suu Kyi pada Februari 2021.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya keputusan rejim tentera Burma untuk memansuhkan 40 parti politik, termasuk NLD,” kata jurucakap Jabatan Negara Vedant Patel, menggunakan nama lama Myanmar.
“Sebarang pilihan raya tanpa penyertaan semua pihak berkepentingan di Burma tidak akan dan tidak boleh dianggap bebas atau adil dan, memandangkan penentangan yang meluas terhadap pemerintahan tentera, dorongan unilateral rejim ke arah pilihan raya berkemungkinan akan meningkatkan ketidakstabilan,” katanya.
Suu Kyi mengasaskan NLD bersama pada 1988, dan memenangi kemenangan besar dalam pilihan raya 1990 yang kemudiannya dibatalkan oleh junta ketika itu.
AS berikrar untuk meneruskan tekanan ke atas Myanmar. Dalam langkah terbarunya minggu lalu, Jabatan Perbendaharaan memberi amaran mengenai risiko sekatan AS ke atas sesiapa yang membekalkanbahan api jet kepada junta.
Tetapi AS berhenti mengambil tindakan terhadap syarikat minyak dan gas milik negara Myanmar, dengan negara jiran Thailand, sekutu rapat AS, bimbang akan kesan tindakan itu. – AFP, 30 Mac, 2023.
Komen