Ekonomi Asia mampu pulih dengan pantas


BFA yakin Asia akan muncul sebagai tumpuan di sebalik kelembapan ekonomi global pada tahun ini. – Gambar EPA, 29 Mac 2023.

SEBAGAI pemacu penting ekonomi global, entiti ekonomi rantau Asia akan menyaksikan pemulihan pesat pada keseluruhannya dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berwajaran diunjur tumbuh sebanyak 4.5% tahun ini, menurut Laporan Tahunan 2023 Prospek Ekonomi Asia dan Proses Integrasi.

Laporan yang dikeluarkan sempena sidang tahunan Forum Asia Boao (BFA) yang sedang berlangsung di wilayah Hainan, China itu turut meramalkan situasi pengambilan pekerja di Asia khususnya rantau Asia Timur akan menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding jangkaan.

Setiausaha Agung BFA, Li Baodong berpendapat Asia akan muncul sebagai tumpuan di sebalik kelembapan ekonomi global pada tahun ini.

“Pembangunan sesetengah negara Asia, khususnya China akan menarik lebih banyak perhatian.

“Rejuvenasi ekonomi China membawa mesej positif kepada Asia dan dunia,” kata beliau.

Sidang tahunan BFA turut menyiarkan laporan tahunan berkaitan pembangunan mampan Asia dan dunia.

Mengulas mengenai laporan itu, Li menyarankan masyarakat antarabangsa supaya mempergiat usaha untuk memulihkan kedamaian dan mengatasi perpecahan.

“Agensi kerajaan dan pelbagai golongan masyarakat perlu bertindak bersama untuk memobilisasikan sumber di samping mewujudkan perkongsian pembangunan global,” tambahnya. – Bernama, 29 Mac, 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen