PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam berkata Hari Kesedaran Autisme Sedunia tahun ini akan disambut dengan acara maya global pada 2 April dengan mengetengahkan sumbangan golongan autistik di seluruh dunia.
Pada Disember 2007 Perhimpunan Agung PBB menerima pakai resolusi yang menetapkan 2 April sebagai Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut setiap tahun bermula pada 2008.
Acara maya tahun ini bertemakan “Transformasi: Ke Arah Dunia Neuro-Inklusif untuk Semua” akan menampilkan empat perbincangan panel yang secara khusus akan meneroka sumbangan yang dibuat oleh golongan autistik di rumah, di tempat kerja, dalam bidang seni serta dalam penggubalan dasar, kata badan dunia itu dalam nota kepada wartawan, lapor Xinhua.
Acara itu juga akan memberi penerangan mengenai cara untuk mengekalkan transformasi naratif autisme dalam kepelbagaian neuro iaitu idea mengenai pengalaman berinteraksi dengan dunia dalam pelbagai cara dan tidak ada satu cara sahaja yang betul bagi menangani halangan dan meningkatkan kehidupan golongan autistik.
PBB berkata naratif yang berlaku dalam persekitaran autisme sudah beralih daripada salah tanggapan daripada usaha untuk mengubati mereka kepada pendekatan inklusif yang memberi tumpuan kepada penerimaan, sokongan selain menerima konsep kepelbagaian neuro.
Menurut PBB, pakar perubatan, penyelidik dan ahli akademik di kebanyakan negara kini menggabungkan kerja-kerja mereka dalam bidang paradigma kepelbagaian neuro yang diilhamkan oleh ahli sosiologi Judy Singer pada akhir 1990-an.
Acara tahun ini dianjurkan oleh jabatan-jabatan di bawah naungan PBB yang berkaitan dengan kerjasama Institut Neurodiversiti yang berpangkalan di Switzerland, sebuah organisasi yang menurut PBB ditubuhkan dan dikendalikan oleh kalangan neurodivergen untuk kalangan dan sekutu neurodivergen. – Bernama, 29 Mac, 2023.
Komen