Tetapkan pendirian, PAS beritahu bekas pemimpin Umno


Jangan tunggu ditendang baru hendak sambung berjuang, pesan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man kepada pemimpin Umno yang dipecat digantung keahlian selama enam tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac 2023.

PEMIMPIN Umno yang digantung keahlian dan dipecat perlu tetapkan pendirian dan terus berjuang demi kebaikan negara kerana mereka mempunyai pengaruh dalam masyarakat, gesa Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jangan tunggu ditendang baru hendak sambung berjuang, kata timbalan presiden PAS itu dipetik Free Malaysia Today hari ini.

“Kita perlu kekuatan untuk bergabung bagi masa depan negara.

“Orang dah dibuang dan digantung enam tahun harus buat pendirian, takkan hendak tunggu orang tendang keluar … sedar-sedarlah diri,” katanya.

Bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, bekas ketua Umno Perlis Shahidan Kassim dan bekas ketua Umno Selangor Noh Omar dipecat pada Januari lalu atas sebab melanggar disiplin parti mengikut perlembagaan parti semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebelum itu bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa dipecat daripada parti itu pada Disember tahun lalu. Annuar dilapor media sebagai berkata tidak tahu sebab-sebab beliau dipecat kerana tiada pertuduhan dibuat terhadapnya. 

Sementara itu, bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan dan bekas ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman pula antara yang digantung keahlian semalam enam tahun. Ketiga-tiga pemimpin Umno ini juga berkata tidak tahu sebab apa keahlian mereka digantung.

Mengulas situasi yang dihadapi Annuar, Tuan Ibrahim berkata bekas ahli Parlimen Ketereh itu nampak seperti tidak berpuas hati kerana memimpin NGO Muafakat Nasional.

“Orang politik tidak begitu dan orang lama mesti ada parti. Kalau tiada dia berjuang rasa tawar dan hambar.

“Kalau tak puas hati tetapi hanya bagi tahu sendiri-sendiri, mana ada kekuatan,” katanya kepada FMT.

Tajuddin pula katanya dilihat masih menaruh harapan Umno menarik balik penggantungan yang dikenakan ke atasnya.

Baru-baru ini Tajudddin memberitahu FMT dalam permohonan rayuannya beliau memohon maaf kerana lantang mengkritik Presiden Umno Ahamd Zahid Hamidi. – 29 Mac 2023. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen