40 pendatang maut kebakaran di pusat tahanan Mexico


Aktivis dan pendatang meletakkan bunga di luar pusat tahanan imigresen di Ciudad Juarez, negeri Chihuahua, Mexico, sebagai solidariti mangsa kebakaran. – Gambar AFP, 29 Mac 2023.

SEKURANG-KURANGNYA 40 maut dalam kebakaran yang dimulakan oleh pendatang dalam protes terhadap pengusiran pusat tahanan imigresen Mexico berhampiran sempadan Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa pada Selasa.

Kebakaran berlaku lewat Isnin di kemudahan Institut Migrasi Nasional (INM) di Ciudad Juarez, menyebabkan pengerahan anggota bomba dan berpuluh-puluh ambulans.

Pendatang dipercayai menyalakan api sebagai tunjuk perasaan kerana bimbang mereka akan dihantar pulang, kata Presiden Andres Manuel Lopez Obrador.

“Mereka meletakkan tikar di pintu pusat perlindungan dan membakarnya sebagai protes, dan tidak menyangka ia akan menyebabkan tragedi ngeri ini,” katanya kepada pemberita.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Filippo Grandi menzahirkan solidariti dengan waris mangsa, dan merayu kepada nnegara di rantau ini “untuk menangani secara berperikemanusiaan, adil, berkesan dengan aliran penduduk yang semakin meningkat melalui benua Amerika.”

Kemarahan memuncak di luar kemudahan tahanan, dengan ahli keluarga melaungkan tuntutan keadilan berhampiran tempat peringatan sementara yang didedikasikan untuk mangsa.

“Setiap pendatang mempunyai hak untuk selamat, dilindungi,” kata Fran Martin Perez, dari Venezuela.

“Kerana kami bukan penjenayah,” tambahnya.

Amnesty International berkata kebakaran itu adalah “akibat dasar imigresen yang ketat dan kejam” Mexico dan AS.

“Peristiwa dahsyat ini mendedahkan sistem penguatkuasaan imigresen yang benar-benar tidak berperikemanusiaan. Bagaimana mungkin pihak berkuasa Mexico membiarkan manusia dikurung tanpa sebarang cara untuk melarikan diri daripada kebakaran?” kata pengarah kumpulan hak asasi manusia di Amerika, Erika Guevara-Rosas.

Mereka yang maut dan cedera termasuk pendatang dari Guatemala, Honduras, Venezuela, El Salvador, Colombia dan Ecuador, kata pihak berkuasa Mexico.

Menteri Luar Guatemala Mario Bucaro memberitahu pemberita yang 28 warganegaranya terbunuh.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menggesa siasatan menyeluruh terhadap kebakaran itu.

Beliau berikrar untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa negara di mana pergerakan bercampur orang berlaku untuk mewujudkan laluan migrasi yang lebih selamat, terkawal dan teratur, kata seorang jurucakap.

Pentadbiran Presiden Joe Biden berharap dapat membendung arus pendatang dan pencari suaka yang melakukan perjalanan berbahaya yang dilakukan oleh penyeludup manusia untuk sampai ke AS.

Kira-kira 200,000 orang cuba menyeberangi sempadan dari Mexico ke AS setiap bulan, kebanyakan mereka melarikan diri daripada kemiskinan dan keganasan di Amerika Tengah dan Selatan.

Menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi, lebih 7,600 pendatang meninggal dunia atau hilang dalam transit di benua Amerika sejak 2014.

Daripada jumlah itu, kira-kira 4,400 orang terkorban atau hilang di laluan lintasan sempadan AS-Mexico, menurut agensi PBB. – AFP, 29 Mac 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen