.jpg)
BEBERAPA hari lepas saya dijemput oleh Demi Malaysia sebagai panel dalam forum yang menyentuh realiti pendidikan percuma di Malaysia. Saya dipadankan dengan Naib Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir. Forum itu berlangsung dengan baik, namun saya dapat menyimpulkan bahawa Pakatan Harapan tidak terlalu serius dalam usaha memberi pendidikan percuma kepada rakyat jika mereka memenangi PRU14 kelak.
Ada dua janji utama mereka berkaitan pendidikan tinggi: menjadikan universiti awam di Malaysia percuma dalam tempoh 5 tahun, dan tidak mewajibkan graduan untuk membayar hutang PTPTN sehingga mereka mencapai angka gaji RM4,000.
Saya berpendirian Pakatan Harapan tidak serius memperjuangkan pendidikan percuma kerana walaupun PRU14 sudah semakin hampir, mereka masih gagal dalam memberikan justifikasi dan jumlah perbelanjaan sebenar dua manifesto berkaitan pendidikan tinggi ini.
Melihat pengalaman lepas
Saya fikir tidak salah untuk kita melihat draf belanjawan pendidikan percuma yang lepas, manifesto yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat pada PRU13. Pakatan Rakyat ingin memansukan PTPTN (pada kadar bayaran balik RM2 bilion setahun selama 20 tahun), memberikan yuran percuma kepada pelajar universiti awam, memberikan elaun kos sara hidup kepada mahasiswa sebanyak RM5,000 setahun dan mewujudkan tabung pinjaman khas untuk mahasiswa di universiti swasta.
Kos manifesto ini adalah RM6 bilion setahun, bagi saya satu angka yang boleh dicapai, lebih-lebih lagi setelah GST dilaksanakan.
Namun perbelanjaan ini disangkal Khairy Jamaluddin dalam debat mansuh PTPTN anjuran Sinar Harian. Khairy berpandangan, pada ketika itu, untuk mewujudkan pendidikan percuma kita memerlukan jumlah yang besar sehingga mampu membuatkan negara muflis.
Terdapat juga kajian alternatif lain apabila kita membicarakan isu pendidikan percuma, salah satunya dikeluarkan oleh Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP). Menurut kajian yang GMPP, negara kita hanya memerlukan lebih kurang RM4 bilion untuk merealisasikan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi.
Cabaran dan persoalan kepada Pakatan Harapan
Cabaran pertama saya kepada pasukan Pakatan Harapan jika mereka berjaya menjadi kerajaan adalah untuk memansuhkan kadar ujrah 1% PTPTN yang wujud pada hari ini.
Saya fikir ini langkah simbolik yang mudah jika mereka serius dalam memperjuangkan pendidikan percuma. Bagi saya, kadar 1% dalam PTPTN ini seharusnya sudah lama dihapuskan.
Sewajarnya mahasiswa tidak perlu dikenakan “riba” untuk pinjaman pendidikan, mahasiswa sepatutnya membayar jumlah yang sama dengan apa yang mereka pinjam. Belanja pengurusan PTPTN perlu ditanggung oleh kerajaan memandangkan mereka tidak mampu menyediakan pendidikan percuma.
Saudara Shazni Munir mengatakan mereka memerlukan RM10 bilion untuk belanja pendidikan percuma. Namun, beliau tidak memberikan apa-apa perincian dalam belanjawan ini. Saya berpandangan Pakatan Harapan belum melakukan perbincangan serius berkenaan pendidikan percuma di Malaysia.
Saya juga mengemukakan soalan tentang tawaran bayaran PTPTN setelah bergaji RM4,000. Saya bimbang tawaran ini akan memberi kesan kepada peminjam baharu kerana graduan memerlukan masa yang panjang untuk mencapai tahap gaji RM4,000.Tawaran ini jelas akan menganggu kadar bayaran balik PTPTN pada tempoh yang panjang.
Pakatan Harapan juga perlu menyatakan dari mana mereka akan mengambil wang sebanyak RM10 bilion, lebih-lebih lagi apabila GST ingin mereka hapuskan.
Saya fikir soalan-soalan ini penting ketika kita membincangkan sejauh mana janji-janji gabungan pembangkang ini realistik.
Pendidikan tinggi penting untuk orang miskin
Saya percaya pada peringkat pra-sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah, negara kita memiliki sistem pendidikan yang murah. Ada beberapa polisi boleh diperbaiki pada peringkat pendidikan rendah, seperti memperkenalkan polisi untuk mengatasi masalah nutrisi yang dilaporkan oleh UNICEF tempoh hari.
Cabaran utama golongan yang berpendapatan rendah adalah ketika mereka ingin melangkah ke institusi pengajian tinggi, lebih-lebih jika pelajar itu mendapat keputusan yang sederhana. Kebanyakan bantuan yang ada lebih memfokuskan keputusan peperiksaan berbanding keadaan ekonomi sesebuah keluarga.
Oleh sebab itu, ahli politik tidak boleh hanya bermain kata-kata dalam menawarkan pendidikan percuma. Jangan beri harapan palsu dalam isu ini, ada kumpulan rakyat yang benar-benar memerlukan pendidikan yang percuma atau murah.
Angka perbelanjaan pendidikan percuma bukanlah seperti wahyu yang datang daripada langit. Penetapan perbelanjaan memerlukan kajian yang terperinci dan mengambil kira keadaan ekonomi semasa.
Bagi saya, Barisan Nasional juga perlu datang dengan angka-angka yang tepat dalam menolak pendidikan percuma, biarlah para sarjana dan orang awam dapat melihat. Perkara penting yang selalu tidak difahami oleh ahli politik adalah pendidikan bukan perniagaan, dan mahasiswa bukan komoditi. – 17 Mac, 2018.
* Rahman Imuda merupakan aktivis mahasiswa dan penulis buku.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
Komen