British Airways batal berpuluh penerbangan akibat mogok


British Airways terpaksa membatalkan lebih 30 penerbangan susulan mogok pekerja. – Gambar AFP, 28 Mac, 2023.

BRITISH Airways pada Isnin mengumumkan pembatalan kira-kira 32 penerbangan sehari membabitkan Lapangan Terbang Heathrow London pada permulaan cuti Easter akibat mogok.

Syarikat penerbangan itu melaksanakan langkah berkenaan selepas 1,400 kakitangan keselamatan Heathrow yang merupakan ahli Unite the Union mengumumkan mereka akan menganjurkan mogok ekoran pertikaian mengenai gaji, lapor Agensi Anadolu memetik laporan.

Mogok bermula pada 31 Mac dan berterusan hingga 9 April.

“Malangnya kami terpaksa membuat sedikit pelarasan pada jadual kami.

“Kami sudah memohon maaf kepada pelanggan yang terjejas dan menawarkan mereka pelbagai pilihan, termasuk menempah semula penerbangan baharu dengan kami atau syarikat penerbangan lain, atau bayaran balik.

“Kami tidak akan membiarkan mogok ini memberi kesan kepada percutian penumpang kami,” kata jurucakap Heathrow, menurut laporan.

Sementara itu, lapangan terbang itu memaklumkan pihaknya menugaskan 1,000 kakitangan tambahan untuk memberi bantuan kepada penumpang semasa cuti Easter. – Bernama 28 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen