Parlimen Hungary lulus bidaan Finland sertai Nato


Parlimen Hungary semalam meluluskan bidaan Finland untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato). – Gambar AFP, 28 Mac, 2023.

PARLIMEN Hungary semalam meluluskan bidaan Finland untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Hungary meluluskan permintaan negara Nordic itu untuk menyertai pakatan tentera dengan 182 undi menyokong manakala enam menentang.

Undian pada Isnin itu menyaksikan 29 daripada 30 anggota Nato mengesahkan penyertaan Finland. 

Finland hanya menanti kelulusan Türkiye untuk menjadi ahli, lapor Agensi Anadolu.

Finland dan Sweden secara rasmi memohon untuk menyertai Nato Mei lalu.

Bagaimanapun Türkiye meminta kedua-dua negara Nordic itu mengambil tindakan konkrit terhadap kumpulan pengganas seperti PKK dan Pertubuhan Pengganas Fetullah (Feto).

Pada Jun Finland dan Sweden menandatangani memorandum dengan Türkiye untuk menangani kebimbangan keselamatan Ankara.

Diplomat kanan dan pegawai dari tiga negara itu mengadakan pelbagai mesyuarat bagi membincangkan pelaksanaan perjanjian tiga hala berkenaan.

Sweden meluluskan undang-undang antikeganasan pada November lalu, dengan harapan Ankara akan meluluskan bidaan Stockholm untuk menyertai Nato. 

Undang-undang baharu itu yang akan dikuat kuasa pada 1 Jun akan membenarkan pihak berkuasa Sweden mendakwa individu yang menyokong organisasi pengganas.

Awal bulan ini Turkiye memaklumkan ia akan meluluskan proses protokol keahlian Finland di parlimen. – Bernama, 28 Mac, 2023.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen