Taliban mengaku bertanggungjawab dalam serangan bom di Kabul 


Militan Taliban mengaku bertanggungjawab dalam serangan pengebom bunuh diri yang menyasarkan konvoi "tentera asing". – Gambar EPA, 17 Mac, 2018.

PENGEBOM bunuh diri Taliban meletupkan sebuah kereta di tengah-tengah Kabul ketika waktu puncak pada Sabtu, menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang awam terbunuh, ketika kumpulan militan itu meningkatkan serangan di ibu negara itu berikutan gesaan untuk rundingan damai. 

Beberapa orang lagi cedera dalam letupan yang didakwa dilancarkan oleh Taliban untuk mensasaran syarikat keselamatan global G4S. 

Ia merupakan serangan keempat di kabul dalam tempoh tiga minggu yang berlaku sehari selepas pemimpin kanan tentera Amerika Syarikat di Afghanistan berkata melindungi bandar berkenaan “merupakan keutamaan kami”.

Ia juga berlaku ketika Taliban berdepan tekanan untuk menerima rundingan damai yang ditawarkan presiden Afghanistan Ashraf Ghani untuk menamatkan perang yang berlarutan sejak 16 tahun lalu. 

“Kira-kira jam 9.10 pagi ini, pengebom bunuh diri meletupkan kereta di Balai Polis Wilayah Sembilan Kabul, kata jurucakap kementerian dalam negeri Najib Danish kepada AFP. 

Dua orang awam terbunuh dan tiga lagi cedera dalam serangan itu, kata Danish. Kejadian berlaku ketika orang ramai dalam perjalanan ke pejabat masing-masing pada hari pertama minggu bekerja. 

Jurucakap kementerian kesihatan Wahid Majrooh memberitahu AFP, sekurang-kurangnya empat orang cedera dalam serangan itu. 

Sementara itu, jurucakap timbalan menteri dalam negeri Nasrat Rahimi berkata, oengebom berkenaan menuju ke arah G4S tetapi “meletupkan dirinya sebelum sampai ke kawasan sasaran”.

Dalam pada itu, melalui mesej WhatsApp yang dihantar kepada wartawan, jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid berkata, pengebom itu menyasarkan konvoi “tentera asing”.

“Kesemuanya terbunuh,” kata Mujahid. – AFP, 17 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen