DR Mahathir Mohamad berkata orang boleh menasihatinya untuk tidak terlibat dalam politik tetapi tidak semestinya beliau ikut semua nasihat dan kehendak orang itu.
Bekas perdana menteri mengulas kenyataan ahli ekonomi Jomo Kwame Sundaram yang mendedahkan beliau pernah menasihat Dr Mahathir supaya menjadi negarawan dan tidak lagi terlibat dalam politik.
“Itu Jomo punya pendapat, tidak semestinya saya ikut kehendak dia,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya.
Pada satu forum dalam talian malam tadi, Jomo mendedahkan pertemuannya dengan Dr Mahathir kira-kira tujuh bulan lepas, iaitu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.
“Dalam pertemuan itu saya minta bekas perdana menteri meninggalkan politik.
“Saya menasihati beliau untuk mengambil peranan sebagai negarawan ulung untuk membantu membangunkan negara.
“Sudah tentu, seperti lazimnya, beliau tolak nasihat saya dan kita tahu akibatnya,” katanya.
Dr Mahathir, 98, bukan saja kalah dan gagal mempertahankan kerusinya di Langkawi tetapi hilang deposit calon pilihan raya bersama semua calon gabungannya Gerakan Tanah Air (GTA).
Ia adalah kekalahan pertama beliau sejak yang terakhir pada pilihan raya umum 1969.
Menurut Dr Mahathir, beliau akan terus ikut campur dalam soal politik kerana baginya apa yang dilakukannya ini adalah “demi negara”.
Katanya, beliau masih lagi sehingga ini didatangi oleh banyak pihak yang meminta pandangan serta nasihatnya mengenai pelbagai perkara, yang beliau tentunya ada pandangan sendiri mengenai perkara itu.
“Demi negara, jika orang datang minta tolong, kenalah tolong.
“Tak kan saya nak cakap tidak boleh tolong sebab nak rehat. Jika ada yang minta pendapat, saya sedia beri pendapat,” katanya.
Dr Mahathir baru-baru ini menyertai Putra selepas letak jawatan pengerusi Pejuang pada pertengahan Disember 2022.
Beliau berundur dari Pejuang selepas parti yang diasaskannya enggan bergabung dalam GTA.
Pada 19 Mac lalu, Dr Mahathir mahu menghimpunkan orang Melayu dalam satu perhimpunan namun terpaksa dibatalkan selepas empat pemilik lokasi perhimpunan menolak tempahan penganjuran rapat umum itu.
Beliau kemudian mengumumkan Proklamasi Orang Melayu dalam satu sidang media yang menggantikan perhimpunan itu.
Semalam, Sekretariat Proklamasi Orang Melayu melancarkan kempen sama secara dalam talian yang akan dijalankan secara berterusan. – 28 Mac, 2023.
Komen