Jerman hantar kereta kebal Leopard ke Ukraine


Kereta kebal tempur Leopard yang dijanjikan ke Ukraine dihantar oleh Jerman bagi membantu Kyiv menentang Rusia. – Gambar AFP, 28 Mac, 2023.

JERMAN menghantar kereta kebal tempur Leopard yang dijanjikan ke Ukraine, kata Canselor Olaf Scholz semalam. 

Penghantaran itu memberikan Kyiv senjata berat yang sangat diperlukan bagi menentang Rusia.

Penghantaran kereta kebal tempur buatan Jerman yang “sangat moden” dibuat kira-kira dua bulan selepas Berlin akhirnya memberi lampu hijau untuk ia dihantar.

Ukraine merayu kepada sekutu baratnya untuk melaksanakan ikrar senjata berat mereka bagi menolak tentera Rusia, menjelang kemungkinan serangan balas musim bunga oleh Kyiv.

“Ya, kami menghantar kereta kebal Leopard seperti yang kami umumkan,” kata Scholz pada sidang media dengan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte di Rotterdam apabila diminta mengesahkan laporan di akhbar Spiegel. 

Laporan Spiegel berkata Berlin menghantar 18 daripada Leopards dengan kereta kebal terakhir meninggalkan Jerman pada akhir minggu lalu sebelum diserahkan kepada Ukraine di sempadan.

Kementerian pertahanan Jerman kemudiannya mengesahkan 18 penghantaran Leopard bersama dengan dua kenderaan pemulihan kereta kebal “Buffel” berperisai.

Kira-kira 40 kenderaan tempur infantri Marder juga tiba di Ukraine, katanya.

“Kereta kebal kami berjaya sampai ke Ukraine kami seperti yang dijanjikan dan tepat pada masanya,” kata Menteri Pertahanan Jerman Boris Pistorius dalam satu kenyataan.

“Saya pasti mereka boleh membuat perubahan di lapangan.”

Berlin merahsiakan laluan penghantaran atas sebab keselamatan, kata Spiegel. – AFP, 28 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen