Penyerang sekolah di Nashville dikenal pasti sebagai Audrey Hale


Orang ramai berkumpul di hadapan sebuah sekolah swasta di Tennessee Amerika Syarikat yang menjadi lokasi kejadian tembakan yang dilakukan oleh Audrey Hale. – Gambar AFP, 28 Mac, 2023.

PENJENAYAH dalam kes tembak di sebuah sekolah swasta di Tennessee Amerika Syarikat dikenali sebagai Audrey Hale, 28, kata Ketua Polis Nashville John Drake dalam sidang media.

Hale dikenal pasti sebagai lelaki transgender dan dipercayai pernah bersekolah di sekolah Kristian itu, kata Drake.

Insiden tembakan semalam menyebabkan enam orang terbunuh termasuk tiga kanak-kanak berumur bawah 10 tahun. 

Seorang daripada mangsa, Katherine Koonce merupakan Pengetua Sekolah berkenaan, lapor Sputnik.

Suspek dilaporkan terbunuh dalam kejadian itu hasil tindakan pantas polis.

Polis sedang menjalankan siasatan di kediaman yang dikaitkan dengan Hale di mana mereka menemui manifesto dan peta sekolah itu, kata Drake.

Presiden AS Joe Biden diberi taklimat mengenai insiden itu, kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karine Jean-Pierre pada Isnin. 

Biden dalam ucapannya memuji tindak balas pantas penguatkuasa undang-undang dan menyeru negara itu mengambil langkah menghentikan keganasan senjata api. – Bernama, 28 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen