Hampir 50 hilang, 7 maut dalam tanah runtuh di Ecuador


Seorang penyelamat dengan anjing pengesan mencari mangsa tanah runtuh di Alausi, Ecuador. Sekurang-kurangnya 50 hilang dan tujuh maut dalam bencana itu. – Gambar AFP, 28 Mac 2023.

PASUKAN penyelamat dan orang ramai masih giat mencari 50 mangsa yang dilaporkan hilang selepas tanah runtuh akibat hujan lebat selama berbulan-bulan mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh penduduk di selatan Ecuador.

Kejadian banjir lumpur itu berlaku lewat malam Ahad menyebabkan berpuluh-puluh rumah tertimbus dan mencederakan 23 penduduk, kata pegawai.

Semalam anggota penyelamat dan orang awam dilihat cuba membersihkan serpihan rumah yang rosak bagi mencari mangsa yang terselamat.

Presiden Ecuador Guillermo Lasso menerusi Twitter berkata anggota bomba dikejarkan ke kawasan itu bagi merawat mangsa yang cedera.

Kerajaan berkata mereka menggerakkan polis, tentera, Kementerian Kesihatan dan Palang Merah untuk membantu usaha menyelamat.

“Kami mengaktifkan penginapan sementara dan menggerakkan kit tidur bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal,” kata satu kenyataan kerajaan di Twitter.

Sejak awal tahun hujan lebat di Ecuador menyebabkan kematian 22 orang, memusnahkan 72 rumah dan merosakkan lebih 6,900, kata sekretariat pengurusan risiko SNGR.

Hujan lebat menyebabkan berlakunya hampir 1,000 kejadian berbahaya seperti tanah runtuh dan banjir.

Kawasan yang terjejas akibat bencana pada Ahad berada dalam zon risiko “amaran kuning” yang ditetapkan sejak bulan lepas berikutan tanah runtuh lain.

Tanah runtuh Ahad lepas berlaku hanya lebih seminggu selepas 15 orang termasuk seorang warga Peru terbunuh apabila gempa bumi kuat melanda wilayah sempadan barat daya Ecuador dengan Peru.

Gempa bumi itu yang didaftarkan pada magnitud 6.5 oleh pihak berkuasa tempatan menyebabkan 22 tanah runtuh yang menghalang jalan raya di wilayah El Oro dan Azuay.

Selepas itu kerajaan mengisytiharkan darurat selama dua bulan di 13 daripada 24 wilayah negara membolehkan sumber ekonomi diagihkan semula ke kawasan yang terjejas.

Bulan lalu hujan lebat memaksa pengepaman minyak di negara itu digantung selama lima hari bagi pemeriksaan keselamatan kerana bimbang saluran paip minyak utama mungkin rosak akibat jambatan runtuh.

Lembah Andes di Ecuador berdepan musim hujan yang berlangsung dari Oktober hingga Mei. – AFP, 28 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen