3 kanak-kanak, 3 kakitangan maut ditembak di sekolah Nashville


SEORANG wanita berusia 28 tahun dan bersenjata membunuh tiga kanak-kanak dan tiga kakitangan di sebuah sekolah rendah swasta di Nashville semalam sebelum ditembak mati oleh polis dalam ledakan keganasan senjata api terbaru yang mengejutkan Amerika Syarikat.

Berbekalkan sekurang-kurangnya dua senapang serangan dan pistol, suspek memasuki sekolah itu sebelum melepaskan tembakan, kata jurucakap polis Nashville Don Aaron dalam satu sidang media.

Penyerang yang dikatakan polis dipercayai bekas pelajar sekolah itu melepaskan beberapa das tembakan ketika memasuki bangunan sekolah berkenaan.

Polis berada di tempat kejadian kira-kira 15 minit selepas menerima panggilan kecemasan pertama sekitar 10 pagi dan berlaku kejadian berbalas tembakan sebelum suspek ditembak mati, kata Aaron.

Tembakan di sekolah adalah perkara biasa yang membimbangkan di Amerika Syarikat di mana jumlah senjata api meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tiada petunjuk awal mengenai motif serangan di Nashville.

Presiden Joe Biden menyifatkan tembakan terbaharu itu sebagai “sakit” dan berkata keganasan senjata api merobek “jiwa” negara ketika beliau menggesa Kongres meluluskan larangan ke atas senjata serangan yang biasa digunakan dalam tembakan besar-besaran.

Jurucakap polis Aaron berkata polis masih berusaha untuk mengenal pasti tiga pelajar dan tiga kakitangan yang terbunuh dalam serangan itu selain suspek. – Bernama, 28 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen