Harga makanan di kantin masih sama, kata pengusaha


Kalidevi Mogan Kumarappa

Meskipun pengusaha kantin mendapat untung lebih kecil namun harga makanan masih sama seperti ketika sesi persekolahan lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2023.

HARGA makanan di kantin sekolah masih sama seperti ketika sesi persekolahan lalu meskipun pengusaha memperoleh keuntungan lebih kecil.

Seorang pengusaha kantin di sebuah sekolah di Kelantan, Norhazly Daud berkata harga makanan masih sama meskipun kos bahan mentah semakin meningkat.

“Jika keadaan seperti ini masih berterusan, lebih ramai pengusaha kantin sekolah yang gulung tikar kerana sudah tidak mampu menanggung kerugian dan kebuntuan.

“Masalah utama ialah kos. Contohnya, untuk nasi lemak 50 sen, perlu ada telur dan ikan bilis juga. Di situ kos sudah melebihi harga makanan. Bila kita naikkan harga sedikit, terus sampai aduan dan ditegur pihak sekolah. 

“Kami perlu bayar sewa dan juga pekerja. Itu belum termasuk guru yang turut mahukan makanan mengikut harga murid walaupun dalam tender ditetapkan harga berlainan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, beliau mengakui tidak boleh berbuat apa-apa kerana sedar murid sekolah di pedalaman memang wajar ditawarkan harga makanan yang rendah.

“Ramai miskin, jadi memang kena letak harga yang rendah. Situasi pengusaha kantin di sekolah bandar, golongan berada atau berkemampuan mungkin berlainan, yang mendakwa boleh hidup kaya-raya mungkin di kawasan macam itulah,” katanya.

Katanya, perniagaan kantin sekolah tidak boleh disamakan dengan perniagaan makanan lain.

“Ia memang mencabar kerana kita bergelut untuk meletakkan harga rendah sesuai dengan murid sekolah sedangkan kos bahan melambung.

“Dilema untuk kita kekalkan harga rendah, nanti saiz makanan dikurangkan, sedikit pula anak-anak ini dapat makan. Akhirnya kami juga yang dipersalahkan,” katanya.

Seorang lagi pengusaha kantin sekolah di Seremban, Mohd Suhaimi Salleh dibebani masalah kenaikan harga barang mentah dan kekurangan pekerja.

Katanya, kebanyakan pengusaha kantin sekolah terpaksa menaikkan harga makanan yang dijual pada awal tahun lalu dan mengekalkannya untuk sesi persekolahan kali ini.

“Kami baru saja nak berasa lega apabila sesi persekolahan sudah beroperasi seperti biasa, kini timbul pula masalah lain.

“Ingatkan apabila sidah boleh beroperasi seperti biasa, dapatlah menampung semula kerugian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagaimanapun, perlu pula fikir masalah lain seperti harga bahan mentah dan pada masa sama, harga makanan juga perlu berpatutan,” katanya.

Mengenai masalah pekerja pula, beliau berkata ramai tidak mahu lagi terus bekerja di kantin disebabkan situasi sesi persekolahan sebelum ini yang kerap kali ditutup.

Menurutnya, keadaan bertambah buruk apabila mereka diberi gaji harian dan bukan secara bulanan.

“Jadi mereka fikir bekerja di kantin sekolah berisiko dalam keadaan tidak menentu sekarang,” katanya.

Suhaimi yang sudah menjadi pengusaha kantin selama 10 tahun berkata kenaikan harga bahan mentah membuatkan mereka terpaksa menaikkan harga makanan pada awal tahun lalu.

Menurutnya, jika sebelum ini nasi lemak biasa dijual pada harga RM1 sepinggan, tetapi sekarang terpaksa dinaikkan kepada RM2.

“Kami pun tersepit. Kalau letak harga terlalu mahal, kasihan pula dengan pelajar. Saya pun ada anak bersekolah, sebab itu saya sangat memahami.

“Isu ayam mentah juga satu masalah. Kalau tiada menu ayam, pelajar tidak mahu makan. Kami memang tersepit,” katanya.

Katanya selain bahan mentah, bekas makanan juga naik harga menyebabkan pengusaha kantin terpaksa menanggung kenaikan kos tersebut.

P Saraswathy, pengusaha kantin di sekolah jenis kebangsaan Tamil di Pulau Pinang pula menyatakan bagi menanggung kerugian akibat kenaikan harga makanan, beliau menyediakan dua jenis pek makanan.

“Satu jenis pek kecil pada harga lebih murah dan biasanya ini dibeli oleh kanak-kanak yang masih kecil.

“Pek besar pula dijual antara RM2 hingga RM3. Biasanya pek ini lebih besar. Itu bagi mempermudahkan ibu bapa dan juga saya sendiri.

“Paling penting harga masih berpatutan dan murah berbanding makanan di luar selain berkualiti tinggi,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan tidak akan timbul isu kenaikan harga makanan di kantin sekolah seperti yang dibimbangi sesetengah pihak.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjelaskan harga makanan di kantin sekolah adalah berdasarkan garis panduan dan perjanjian antara pengusaha dan pihak sekolah.

Beliau juga menjelaskan, pihaknya akan memberi perhatian terhadap cadangan penyeragaman harga makanan dan minuman di kantin sekolah mengikut lokaliti. – 28 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen