Data peribadi 14 juta pelanggan kewangan Australia Latitude dicuri


PENYEDIA perkhidmatan kewangan Australia Latitude pada Isnin mengesahkan kira-kira 14 juta butiran peribadi dicuri dalam insiden penggodaman yang menyasarkan syarikat itu baru-baru ini.

Latitude memaklumkan kira-kira 7.9 juta nombor lesen memandu Australia dan New Zealand dicuri.

‘Serangan berniat jahat’ itu turut mendedahkan 53,000 nombor pasport manakala sekitar 100 pelanggan melaporkan kebocoran penyata kewangan bulanan mereka, lapor Xinhua.

Sementara itu syarikat itu juga mengenal pasti 6.1 juta rekod tambahan dicuri termasuk beberapa maklumat peribadi seperti nama, alamat, telefon dan tarikh lahir.

“Amat mengecewakan sebilangan besar pelanggan dan pemohon terjejas akibat insiden ini. Kami memohon maaf.

“Kami terus bekerja sepanjang masa untuk memulihkan operasi kami. Kami sedang memulihkan platform yang terjejas dan melaksanakan pemantauan keselamatan tambahan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Latitude, Ahmed Fahour.

Polis Persekutuan Australia kini sedang menyiasat insiden berkenaan.

Latitud pertama kali melaporkan serangan siber pada 16 Mac mengakui lebih 300,000 dokumen pelanggan dicuri.

Penyerang dipercayai menggunakan log masuk pekerja untuk mencuri data penyedia perkhidmatan syarikat. – Bernama, 27 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen