Biden isytihar darurat selepas puting beliung landa Mississippi


Selain kematian dan kemusnahan, putting beliung juga menyebabkan gangguan bekalan elektrik di Mississippi dan negeri berhampiran. – Gambar AFP, 27 Mac, 2023.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengisytiharkan darurat di Mississippi selepas puting beliung yang melanda negeri itu mengakibatkan kemusnahan dan kematian.

Sekurang-kurangnya 25 terbunuh manakala berpuluh-puluh lagi cedera selepas puting beliung dan ribut melanda Mississippi pada malam Jumaat.

White House dalam satu kenyataan menjelaskan “pembiayaan persekutuan tersedia untuk mereka yang terjejas di daerah Carroll, Humphreys, Monroe, dan Sharkey” susulan pengumuman Biden itu, lapor Agensi Anadolu.

Empat daerah berkenaan dilaporkan terjejas teruk akibat bencana itu, menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Mississippi.

Biden melantik pegawai penyelaras Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan, John Boyle untuk menyelaras operasi pemulihan persekutuan di kawasan yang terjejas.

“Penilaian kerosakan akan dijalankan di kawasan lain, dan lebih banyak daerah serta bantuan tambahan mungkin disalurkan selepas penilaian selesai dibuat,” menurut kenyataan itu.

Selain kematian dan kemusnahan, bencana itu juga menyebabkan gangguan bekalan elektrik di Mississippi dan negeri berhampiran. – Bernama, 27 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen