Tiada petunjuk Rusia pindah senjata nuklear, kata AS


Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS John Kirby berkata Washington tidak melihat sebarang petunjuk Rusia berniat untuk menggunakan senjata nuklear di Ukraine. – Gambar AFP, 27 Mac 2023.

TIADA sebarang petunjuk Rusia sudah memindahkan senjata nuklear, kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS) John Kirby, selepas Moscow umum akan menempatkan senjata nuklear taktikal di Belarus.

Sabtu lalu Presiden Rusia Vladimir Putin umum senjata nuklear taktikal akan ditempatkan di negara jiran dan sekutunya Belarus, mencetus kecaman daripada badan antarabangsa dan Ukraine.

Rusia menceroboh Ukraine pada Februari tahun lepas.

“Kami tidak nampak sebarang petunjuk dia (Putin) sudah laksanakan hasratnya atau memindahkan mana-mana senjata nuklear ke negara sekutu,” kata Kirby dalam program “Face the Nation” terbitan CBS semalam.

Pakar percaya sebarang serangan yang dilakukan oleh Moscow berkemungkinan melibatkan senjata medan perang bersaiz kecil, yang dipanggil “taktikal” berbanding senjata nuklear jarak jauh berkuasa tinggi atau “strategik”.

Bagaimanapun Washington tidak melihat sebarang petunjuk bahawa Putin mempunyai sebarang niat untuk menggunakan senjata nuklear di Ukraine, kata Kirby, menambah AS memantau perkembangan mengenai konflik Rusia-Ukraine setiap hari. – AFP, 27 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen